KLUANG: Dua lelaki tergamam dan tidak dapat melarikan diri apabila tindakan memecah masuk rumah sarang burung layang-layang ‘dijemput’ sepasukan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku pada Jumaat lalu kira-kira pukul 2 pagi di Taman Sri Layang di Pekan Layang-Layang, dekat sini.
“Dua lelaki berusia 36 dan 41 tahun berjaya ditahan ketika melakukan pecah masuk dalam rumah burung layang-layang.
“Barang-barang yang berjaya dirampas adalah 450 gram sarang burung layang-layang, peralatan pecah rumah dan kelengkapan untuk mengambil sarang burung layang-layang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil semakan, kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Katanya, anggaran kerugian kira-kira RM2,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari hingga 30 November ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN