Di mana Wahab, telefon bimbit dimatikan - PDRM - Utusan Malaysia

Di mana Wahab, telefon bimbit dimatikan – PDRM

Abdul Wahab Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abdul Kadir untuk tampil membantu siasatan berhubung rakaman video perbualannya dengan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pihaknya mendapati lelaki tersebut tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini. 

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan mendapati Abdul Wahab masih berada dalam negara.

“Kita telah beberapa kali cuba menghubunginya namun telefon bimbit telah dimatikan. Usaha menjejakinya masih dilakukan pihak polis melalui peguam.

“Jadi kita minta Abdul Wahab untuk tampil bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Razarudin, keterangan Abdul Wahab diperlukan bagi melengkapkan siasatan pihak polis. 

“Dia (Abdul Wahab) merupakan saksi penting selain dapat mengesahkan identiti Mr. H,” katanya. 

Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan berkata, identiti ‘Mr. H’ tidak dapat didedahkan kerana tidak mahu mengganggu siasatan dan timbul lebih banyak spekulasi yang menyukarkan siasatan.

Katanya, setakat ini kes masih di peringkat siasatan dan  empat saksi sudah tampil memberi keterangan iaitu pengadu (Mohammad Agus), aktivis politik, Che’gu Bard, (individu dikatakan) Mr H (berdasarkan laporan Mohammad Agus) dan pekerja hotel di Bangi iaitu individu yang dapat mengesahkan lokasi sidang media diadakan minggu lalu.

“Pihak polis juga masih menunggu keputusan pakar kesahihan video yang didakwa disunting itu,” katanya. 

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara Mohammad Agus dengan seorang individu lain.

Bagaimanapun Mohammad Agus mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan dibuat Mohammad Agus mengenai kebocoran laporan polis yang dibuatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya