Dewan Rakyat: Sokong kerajaan bukan syarat untuk dapat peruntukan  - Utusan Malaysia

Dewan Rakyat: Sokong kerajaan bukan syarat untuk dapat peruntukan 

Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak pernah meminta mana-mana ahli parlimen supaya mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan jika mahu mendapatkan peruntukan.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak meletakkan sebarang syarat sebaliknya hanya meminta pihak pembangkang untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan mengenai perkara itu.

Namun, katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau belum ada perundingan rasmi dengan pihak pembangkang.

“Saya tegaskan semula, soal peruntukan tidak usah dipanjangkan, runding dengan baik dan tidak ada syarat ketat. Ada yang mengatakan ada syarat, saya dengar kempen-kempen maki-hamun saya, ini Perdana Menteri tak guna, dia minta sokong dia baru dia bagi peruntukan. Saya tak pernah sebut begitu.

“Saya juga tidak bertanya dengan Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal), saya tidak pernah sebut begitu, waima kepada dia sendiri pun. Jadi syaratnya, perhati dulu apa perjanjian persefahaman dulu antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, rundingan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan tetapi ia perlu dilakukan untuk mendapatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

“Bincang sahajalah, kalau dah tak sanggup bincang, tunggulah, jangan gunakan isu itu, sebab mana-mana ceramah itu makian, kata kita zalim tidak beri peruntukan kepada pembangkang. Saya beritahu peruntukan kepada rakyat diteruskan, tidak salur kepada pembangkang sehingga rundingan diadakan.

“Kalau nak ada semangat kerajaan dan pembangkang, tapi nak runding pun tak boleh, tak munasabah bagi saya. Dalam tradisi demokrasi pembangkang dan kerajaan, ketua pembangkang dan Perdana Menteri, wakil harus ada di meja perundingan, sebab itu kita letakkan jawatankuasa pilihan khas supaya ada penyertaan pembangkang dan kerajaan, tiap undang-undang mengambil kira pandangan mereka,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah menghalang peruntukan kepada mana-mana wakil rakyat.

RUNDINGAN

“Saya mahu peraturan dihormati iaitu rundingan antara pembangkang dan kerajaan seperti lazim digunakan di mana-mana sistem demokrasi, syarat-syarat itu runding dulu. Saya tidak berikan syarat atau pra-syarat untuk menyokong Perdana Menteri, tidak perlu ada syarat menyokong saya, tetapi ada beberapa peraturan seperti mana dilakukan dulu.

“Kadang-kadang aneh wakil yang berunding itu ada di belah sana, dia tahu prosesnya, berapa kali berunding, tapi seolah tidak dipedulikan, seolah tak tahu langsung, tak bolehlah begitu,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai syarat yang dikenakan kepada pembangkang untuk mendapatkan peruntukan.

Kata Shahidan, beliau berharap isu peruntukan dapat diselesaikan segera tanpa meletakkan sebarang syarat ketat.

“Jangan letak satu permusuhan yang tidak dapat selesaikan, benda boleh selesai. Punca masalah besar ialah peruntukan, selesai peruntukan selesai banyak perkara.

“Perbincangan dibuat dengan Timbalan Perdana Menteri, tapi buat syarat yang ketat tak berapa bolehlah, tak payah syarat ketat, cukup bajet cukup Yang Berhormat, bagi peruntukan sewajarnya kepada kami.

“Negeri kita memerintah semua kita bagi peruntukan, Terengganu yang tidak ada pembangkang pun kita bagi peruntukan, kita nak tunjukkan tak ada masalah, budi bahasa kami cukup luar biasa, selesaikan masalah peruntukan, selesai semua,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN