KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bidang kuasa Persekutuan dan negeri khusus berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang syariah dimuktamad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kesemua ahli yang dilantik terdiri dalam kalangan pakar dan pengamal undang-undang yang berkelayakan.
“Semua nama anggota bagi jawatankuasa telah dimuktamadkan dan pelantikan telah dibuat.
“Ia dianggotai bekas Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi, bekas hakim, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, wakil Majlis Agama Islam Negeri dan ahli akademik yang berkepakaran dalam bidang undang-undang, sivil, syariah dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad [PN-Pokok Sena] yang mahu tahu perkembangan terkini penubuhan jawatankuasa khas berkenaan.
Beliau juga bertanya jika kerajaan mempunyai pelan dalam jangka masa tertentu bagi pelaksanaan syor yang akan dikemukakan jawatankuasa khas itu.
Mohd Na’im berkata, jawatankuasa khas yang baru dibentuk itu akan meneliti alasan penghakiman dikemukakan termasuk kes yang telah diputuskan melibatkan Iki Putra Mubarak dan petisyen difailkan Nik Elin Zurina Abdul Rashid.
MENELITI
“Dalam konteks ini, jawatankuasa khas yang dibentuk ini juga akan meneliti alasan penghakiman yang dikemukakan bukan saja dalam kes Iki Putra, tetapi termasuk kes (Nik Elin) yang akan diputuskan Mahkamah Persekutuan.
“Dalam konteks tempoh masa, kita harapkan jawatankuasa khas yang dibentuk ini nanti setelah meneliti alasan penghakiman yang diputuskan dalam kes Nik Elin akan mengemukakan syor termasuk jika ada keperluan untuk meminda mana-mana undang-undang atau jika ada cadangan untuk meminda Perlembagaan,” katanya.
Tambahnya, syor diterima melalui jawatankuasa khas itu akan dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan seterusnya perlu mendapat perkenan Majlis Raja Raja.
Katanya, antara kebimbangan MKI jika terdapat kelompongan pada undang-undang sedia ada, sekali gus menyebabkan undang-undang syariah boleh dicabar.
Jika puncanya pada kelompongan (undang-undang sedia ada) atau pada Perlembagaan, maka ia akan dikaji dan disyor oleh jawatankuasa khas ini,” katanya.- UTUSAN