Dewan Rakyat: 8.85 peratus usahawan gulung tikar  April 2020  - Utusan Malaysia

Dewan Rakyat: 8.85 peratus usahawan gulung tikar  April 2020 

koperasi
Ewon Benedick
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan merekodkan kira-kira 8.85 peratus usahawan gulung tikar pada April 2020 selepas terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kenaikan harga barangan. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, berdasarkan data kaji selidik dilaksana bagi tempoh 2020 hingga 2022, kesan pandemik dan kenaikan harga barangan menyebabkan sebilangan usahawan terpaksa menutup perniagaan mereka.

Menurut beliau, kaji selidik itu turut menyatakan 3.16 peratus usahawan gulung tikar pada Jun 2021, diikuti 1.38 peratus pada Februari 2022 dan 2.7 peratus pada November 2022.

“Dalam usaha membantu usahawan yang terjejas, KUSKOP menerusi agensi di bawahnya melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan dengan menyediakan bantuan pinjaman kewangan antaranya skim pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim [PN-Kulim Bandar Baharu] yang meminta kementerian menyatakan jumlah usahawan gulung tikar susulan kelembapan ekonomi semasa dan usaha yang dilaksanakan untuk membantu usahawan terjejas.

Dalam pada itu kata Ewon, KUSKOP dan agensi di bawahnya bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan program intervensi peluang kedua bagi membantu usahawan yang berdepan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis.

Katanya, pada 2022, seramai 664 orang usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, seramai 40 usahawan dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) selama empat bulan bermula 17 Oktober 2022.

“SME Corp juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AKPK pada 3 Februari lalu sebagai usaha untuk membantu PMKS dalam pendidikan dan pengurusan kewangan dan kredit.

“Kerjasama strategik ini dilihat dapat membantu dan memudahkan PMKS membuat keputusan dalam menguruskan kewangan secara bijak dan berhemah, terutamanya dalam era pasca pandemik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya