SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan mengakui masih belum mempunyai sebarang perancangan bagi menghadapi musim hadapan.
Jelasnya, fokusnya ketika ini hanyalah bersama pasukan Hoben Jang Hoben khususnya bagi menghabiskan dua perlawanan Liga Super yang masih berbaki.
“Saya tiada perancangan buat masa ini, tunggu dan lihat sebab saya masih ada kontrak. Kena habiskan dua perlawanan dan saya rasa musim depan pun mula pada bulan April.
“Selepas dua perlawanan, saya boleh pergi bercuti kemudian balik dan lihat sama ada cuti panjang atau pendek,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan dan PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini semalam.
Devan berkata demikian selepas timbul khabar angin bahawa kontraknya selaku ketua jurulatih tidak disambung selepas prestasi tidak memuaskan Negeri Sembilan untuk musim ini.
Sementara itu, pada perlawanan semalam, Negeri Sembilan selaku tuan rumah meraih tiga mata selepas menewaskan PDRM dengan keputusan 2-0.
Gol Negeri Sembilan dihasilkan oleh R. Barathkumar pada minit ke-48 dan A. Selvan pada minit ke-78.
“Separuh masa pertama kami hanya mahu melihat corak permainan pasukan lawan dan berhati-hati supaya tidak dibolosi. Apabila saya lihat PDRM dalam keadaan padang yang basah mereka tidak menunjukkan sebarang larian deras ataupun seperti biasa kita lihat dalam perlawanan lain.
“Mereka mengamalkan baris pertahanan yang tinggi, saya rasa kami boleh dapat kelebihan daripada situasi itu. Kami mengubah taktikal permainan, dan kalau dapat bola kami kena lari dengan bola dan gunakan kawasan belakang pertahanan belakang PDRM.
“Itu yang mereka buat dan kami berjaya menjaringkan gol,” katanya.-UTUSAN.