Detik indah pasangan suami isteri, terima sarjana bersama - Utusan Malaysia

Detik indah pasangan suami isteri, terima sarjana bersama

ADAM EZANIZ MOHD. NIZAM dan Nur Farah menerima ijazah sarjana dalam Majlis Konvokesyen Ke-67 UTM, Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri, Adam Ezaniz Mohd. Nizam, 30, dan Nur Farah Jasmin, 31, menempa detik indah apabila menerima ijazah sarjana serentak pada Majlis Konvokesyen Ke-67 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Nur Farah mengakui berdepan detik sukar untuk menamatkan pengajiannya apabila didiagnos menghidap kanser payudara tahap tiga pada tahun lalu dan bergelut untuk menjalani rawatan serta pembedahan dan pada masa sama menyiapkan penyelidikan berkaitan perancangan pelancongan bagi melengkapkan pengajiannya.

“Berkat sokongan suami yang memberi galakan untuk menamatkan pengajian, saya teruskan juga walaupun terdapat kekangan masa. Suami dan adik ipar banyak membantu ketika saya tidak berdaya.

“Seminggu selepas saya menjalani pembedahan pada Disember tahun lalu, mereka menemani saya ke Kampung Orang Asli Ruai, Raub, Pahang bagi mengumpul data yang diperlukan untuk kajian yang dijalankan.

“Ketika tempoh menjalani kemoterapi pula, saya cepat rasa penat, letih dan menjadi pelupa. Namun, saya amat bersyukur usaha keras berjaya membuahkan hasil apabila menerima ijazah sarjana hari ini,” katanya yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Dalam pada itu, Adam Ezaniz terdetik untuk menyambung pengajian di universiti yang sama setelah isterinya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dia yang kehilangan ibunya akibat kanser payudara sebelum ini mengetahui serba sedikit untuk mengendali situasi yang dialami isterinya.

“Sebagai seorang suami, saya cuba sebaik mungkin menyokongnya dalam masa sama mengingatkan isteri untuk makan ubat dan menjaga kesihatan. Alhamdulillah, dia dapat tempuhi saat sukar ini dan impian untuk merangkul ijazah sarjana bersama-sama jadi realiti,” katanya yang bertugas dengan sebuah kilang di Selangor.

Seramai 7,804 graduan menerima skrol masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut yang berlangsung selama enam hari sehingga Khamis depan.

Sementara itu, seorang lagi pesakit kanser, Muhammad Muzakkir Mohamad Hanafiah, 34, berasa gembira bercampur sedih apabila mengambil masa empat tahun bagi menamat pengajian ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Dia terpaksa menangguhkan pengajian pada 2021 selama hampir setahun setelah disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua.

“Setelah tahu menghidap kanser, saya bukan sahaja patah semangat nak meneruskan pengajian malah memberi kesan kepada pekerjaan.

“Isteri saya yang bekerja sebagai doktor banyak memberi kata-kata semangat, ibu juga banyak membantu dan ini menjadi pemulih semangat saya untuk meneruskan pengajian. Kejayaan ini adalah berkat sokongan mereka,” katanya yang telah selesai menjalani rawatan kemoterapi pada Jun tahun lalu dan hanya perlu menjalani pemeriksaan secara berkala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya