Deepavali: Peniaga kuih tradisional kekalkan harga - Utusan Malaysia

Deepavali: Peniaga kuih tradisional kekalkan harga

N. GOPINATHAN (kanan) dan isterinya, K. Kalaiarasi menunjukkan kuih tradisional masyarakat India yang dijual di gerainya yang terletak di Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023 di Taman AST, Seremban.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun berlaku peningkatan harga bahan mentah seperti tepung beras, seorang peniaga kuih dan biskut sempena perayaan Deepavali tetap mengekalkan harga jualannya seperti tahun sebelum ini.

N. Gopinathan, 40, dari Rasah di sini berkata, dia tetap menjual kuih-kuih tradisional masyarakat India, biskut dan muruku pada harga di antara RM20 hingga RM25 sebekas.

“Memang kos untuk tahun ini naik, harga beras naik, kami juga banyak guna tepung beras, iaitu hampir satu tan. Bagaimanapun kami cuba kekalkan harga kerana kami juga tak mahu orang ramai tidak dapat beli kerana harga mahal.

“Kami jual pada harga yang sama seperti sebelum ini iaitu di antara RM20 hingga RM25, tidak mengapa, kami boleh berikan diskaun dan boleh kurangkan sedikit kuantiti asalkan orang ramai dapat beli dan nikmati kuih-muih ini, lagipun kami ramai pelanggan tetap, mereka juga yang banyak beri sokongan sebelum ini,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023 di Taman AST di sini.

Gopinathan dalam pada itu berkata, dia sudah menyertai jualan di karnival berkenaan selama 13 tahun dan kuih-muih tradisional masyarakat India sentiasa menjadi pilihan pelanggannya untuk Deepavali.

“Kuih ketti urundai ataupun kuih batu, kuih nei urundai atau bebola minyak sapi, dan kuih chittu urundai (manisan bebola kecil) paling laku dan mendapat sambutan, semuanya kami buat sendiri.

‘Setiap tahun kami boleh menjual sekitar 4,000 bekas dalam tempoh 10 hari karnival, kebiasannya semakin hampir untuk hari perayaan Deepavali, permintaan juga meningkat,” katanya yang memberitahu menjual kira-kira 23 jenis kuih-muih, biskut dan manisan dengan 11 daripadanya merupakan kuih tradisional masyarakat India.

Dia sementara itu memberitahu, penganjuran karnival sempena Deepavali yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Sembilan banyak membantu peniaga sepertinya untuk mencari pendapatan tambahan.

“Memang banyak membantu, biasanya dalam tempoh 10 hari, nilai jualan saya boleh mencecah hingga RM40,000, ditolak dengan modal dan kos-kos lain saya boleh dapat sekitar RM10,000 hingga RM12,000.

“Sambutan orang ramai di sini juga sangat baik, kawasan lapang dan selesa, tempat meletakkan kenderaan juga banyak jadi lebih ramai pelanggan boleh datang ke sini,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya