Damok masih cari keserasian jentera

Damok masih cari keserasian jentera

DAMOK masih berdepan dengan isu sama bergelut bagi mencari keserasian dengan jenteranya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman mengakui tahun pertamanya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia mengundang tekanan yang bukan sedikit daripada peminat yang meletakkan harapan besar untuknya mencatat keputusan cemerlang.

Namun, harapan besar itu gagal dipikul Syarifuddin atau lebih mesra dengan panggilan Damok yang masih belum mampu mencapai jangkaan yang diletakkan peminat terhadapnya.

Pada sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, semalam, pelumba MT Helmets-Msi itu masih berdepan dengan isu sama apabila dia bergelut bagi mencari keserasian dengan jenteranya.

Syarifuddin Azman atau lebih dikenali dengan panggilan Damok.

“Untuk saya sendiri, sudah tentu saya ingin buat kejutan, tetapi ini tahun pertama saya, cabaran yang saya terima sangat sukar.

“Ramai meletakkan jangkaan tinggi dengan harapan saya mampu bersaing di kelompok hadapan atau berada di podium dan saya sedar perlu untuk saya buktikan itu pada tiga pusingan yang masih berbaki ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat sesi latihan bebas (FP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pada FP 1 dan FP2, pelumba berusia 22 tahun itu gagal mempamerkan aksi menyakinkan apabila sekadar melengkapkan saingan di kedudukan ke-23 (2 minit 14.258 saat) serta ke-26 (2:14.598s).

Damok berkata, dalam setiap perlumbaan pasukannya akan membuat pelarasan jentera yang berbeza dan hasilnya dia bergelut dalam setiap pusingan.

“Seperti awal pagi tadi (semalam), saya sangat bergelut dengan jentera sehingga gagal untuk mencatat masa yang baik dan pada FP2 pula memang ada perubahan, tetapi, saya belum mampu memperbaiki catatan masa,” ujarnya.

Damok amat berharap, menjelang aksi kelayakan, hari ini, dia mampu melakukan perubahan besar dan sekali gus mencari slot pada kelayakan dua dalam usahanya memburu kedudukan yang lebih baik pada perlumbaan sebenar nanti.

Ketika ditanya pula mengenai masa depannya bagi musim 2024, Damok memberitahu, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin untuk mencari pasukan baharu buatnya.

Sementara itu, Jaume Masia dari pasukan Leopard Racing mengungguli sesi latihan bebas Moto3 setelah melakar masa sepusingan terpantas 2:12.065s, manakala, penunggang Red Bull KTM Ajo, Deniz Oncu menghuni kedudukan kedua (2:12.500s) dan tempat ketiga menjadi milik, Taiyo Furusato (2:12.518s) dari Honda Team Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya