SEREMBAN: Sepasang suami isteri ditangkap selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian barang kemas dari sebuah kedai emas di Senawang di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kedua-duanya yang berusia 46 dan 35 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada hari yang sama pada pukul 10.50 malam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, arah selatan.
Jelas beliau, hasil tangkapan berkenaan, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, seutas gelang emas yang telah dipajak di ibu negara dengan harga RM3,650, dan wang tunai berjumlah RM3,600.
“Suspek dibenarkan reman selama empat hari bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati suspek lelaki mempunyai 14 kes rekod jenayah yang melibatkan dadah dan jenayah.
“Hasil ujian saringan, suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, memberitahu mengenai kejadian, Arifai memaklumkan, lebih kurang pukul 4.40 petang, Bilik Gerakan IPD Seremban telah menerima pemakluman satu kes kecurian barang kemas seberat 15.33 gram di sebuah kedai emas di Senawang.
“Hasil siasatan mendapati kejadian lebih kurang pukul 4 petang di mana suspek seorang lelaki memakai pelitup muka berpura-pura mahu membeli gelang emas yang berharga RM5,000.
“Lelaki itu kemudian melarikan diri bersama seorang wanita yang menunggu dalam sebuah kereta di luar kedai,” katanya.-UTUSAN.