Cabul gadis di tepi jalan, lelaki dipenjara tujuh bulan - Utusan Malaysia

Cabul gadis di tepi jalan, lelaki dipenjara tujuh bulan

MUHAMMAD Ezriez Shah Alizal (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas kesalahan mencabul seorang gadis dalam kejadian di tepi jalan Temeris Kuala Kepis, Kuala Pilah, 8 November lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas kesalahan mencabul seorang gadis di tepi jalan Temeris Kuala Kepis di sini kelmarin.

Tertuduh, Muhammad Ezriez Shah Alizal, 22, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Majistret turut menjatuhkan hukuman satu sebatan ke atas tertuduh.

“Tindakan tertuduh melakukan cabul ke atas mangsa adalah salah dan keterlaluan di tepi jalan ketika menaiki motosikal dan trauma mangsa perlu diambil kira. 

“Pada usia muda sepatutnya melakukan perkara-perkara baik, bukan buat jenayah seperti ini. Hukuman ini untuk memberi amaran kepada kamu dan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan cabul,” tegas Saiful.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah didapati mencabul seorang gadis berusia 22 tahun dengan cara memegang dan menyentunh bahagian dada mangsa.

Perbuatan itu dilakukan pada 8 November kira-kira pukul 6.30 petang.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mengikut fakta kes, pada masa, tempat dan tarikh yang sama, mangsa menyedari terdapat sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki mengekorinya dan sebaik sampai di jalan tersebut, motosikal mangsa telah dihimpit.

Tertuduh telah bertanyakan mangsa mahu pergi ke mana dan meminta nombor telefon namun, mangsa tidak mengendahkannya.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba tertuduh mula bertindak di luar jangkaan dan mula memegang mangsa di bahagian dada sebanyak dua kali.

Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri telah membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN