Buruan bermula, Harimau Malaya perlu sokongan peminat

Buruan bermula, Harimau Malaya perlu sorakan peminat

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan menjelang aksi menentang Kyrgyzstan dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan menentang Kyrgyzstan malam ini boleh diibaratkan sebagai permulaan misi Harimau Malaya untuk menggegarkan benua Asia dan dalam masa yang sama mengutip tiga mata pertama dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Di atas kertas, Kyrgyzstan sememangnya dilihat mempunyai ranking dunia yang lebih tinggi di kedudukan ke-97 berbanding Malaysia ke-137, namun berdasarkan situasi semasa, anak-anak buah Kim Pan Gon dilihat mempunyai kelebihan untuk mencatat kemenangan.

Bermain di gelanggang sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan sorakan penyokong setia menjadi elemen tambahan buat Harimau Malaya untuk memastikan tiga mata pertama berjaya diraih sebelum terbang ke Taiwan untuk aksi kedua pada Selasa depan.

Enam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 begitu mustahak buat skuad Harimau Malaya dalam misi mereka untuk layak ke peringkat seterusnya, selain demi kelangsungan bola sepak negara di bawah era baharu kendalian Pan Gon.

Tidak keterlaluan jika dikatakan aksi berdepan Kyrgyzstan, Taiwan dan Oman dalam saingan kelayakan ini boleh menjadi medan ujian terbaik buat skuad bimbingan Pan Gon untuk ‘menyentuh’ taraf Asia dan melangkah ke peringkat 18 terbaik pasukan bola sepak Asia.

Pan Gon berkata, biarpun berdepan cabaran sengit, sasaran utama Harimau Malaya adalah untuk mara sehingga ke pusingan ketiga aksi kelayakan dan mengintai peluang untuk Harimau Malaya melakar sejarah ke Piala Dunia.

“Setiap tahun, kita akan hadapi pelbagai perlawanan dan kejohanan tetapi untuk Piala Dunia, ia cuma berlangsung dalam tempoh empat tahun sekali. Bagi saya, Piala Dunia perlu diberikan keutamaan dan kemudian barulah Piala Asia,” katanya

Malaysia perlu menjadi dua pasukan terbaik untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan. Dari situ, sebanyak 18 negara akan merebut lapan slot (direct slot) ke Piala Dunia dengan satu tempat lagi akan direbut dalam pusingan play-off antara benua. (Lagi berita muka 46 & 47).

Dalam masa yang sama,  Pan Gon merayu agar penyokong setia skuad kebangsaan datang memenuhkan setiap ruang di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada skuad kendaliannya.

“Saya tidak boleh janjikan apa-apa kepada peminat, tetapi ini adalah laluan skuad kebangsaan untuk ke pentas Piala Dunia. Perlawanan ini sangat penting, semua pihak kena bersatu dan (penyokong) kena datang ke stadium, beri sokongan kepada kami.

“Tanpa sokongan peminat, kami bukannya sesiapa. Peminat kena datang dan berikan sokongan. Ini rumah kita, persekitaran dalam stadium perlu dipenuhi untuk takutkan Kyrgyzstan, datang dan berjuang bersama-sama,” kata Pan Gon. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya