KUALA LUMPUR: Rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan melepas dan membebaskan bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan akan diputuskan pada 8 Februari 2024.
Berdasarkan semakan mahkamah, tarikh tersebut ditetapkan pada pengurusan kes terbabit pada 16 November lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya secara dalam talian.
Pada tarikh tersebut, Mahkamah Rayuan juga dijangka membuat keputusan terhadap rayuan Samirah dan dua remaja itu yang mencabar penemuan fakta oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sewaktu membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.
Fakta terbabit berhubung penemuan Mahkamah Tinggi bahawa kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin pada 14 Jun 2018 “dilakukan dengan sengaja” dan punca kematian Nazrin adalah akibat “berbilang hentakan objek tumpul di kepala”.
Pihak pendakwaan selesai berhujah pada 17 Oktober manakala pembelaan yang diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selesai memberikan hujahannya pada 23 Oktober lalu.
Selesai mendengar hujah tersebut, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal menangguhkan keputusan rayuan tersebut ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
MELEPAS
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam, melepas dan membebaskan Samirah dan dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin atas alasan antaranya pihak pendakwaan gagal prima facie kes dan gagal membuktikan bahawa Nazrin dibunuh di antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu keesokan harinya.
Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja itu memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja.”
Samirah dan dua remaja lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Nazrin pada 4 Mac 2019 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Mac 2019.
Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dan sepatutnya dituduh bersama, namun wanita masih bebas.
Perbicaraan bermula 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr. Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki dan Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Sheue Feng. – UTUSAN