PORT DICKSON: Seorang penternak lembu yang terperangkap di dalam kandang akibat banjir diselamatkan anggota bomba dalam kejadian di Kampung Air Kuning, Jalan Linggi-Rantau, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1, Mohd. Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian pada pukul 4.02 petang dan berjaya sampai di lokasi pada pukul 4.10 petang.
Menurut beliau, anak lelaki mangsa mendapat panggilan telefon dari ibunya yang terperangkap di dalam kebun dan kandang lembu.
“Ketika itu hujan lebat menyebabkan air naik sehingga paras lima meter. Anaknya terus pulang ke rumah dan pada masa yang sama menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi minta bantuan pihak bomba.
“Anggota bomba seterusnya mencari laluan alternatif akibat jambatan runtuh, serta menyeberangi sungai dan berjaya menyelamatkan mangsa yang berdiri di atas kerusi sambil memeluk tiang kandang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Menurutnya, hujan lebat bermula sejak pukul 1.30 petang dan operasi menyelamat turut dibantu pasukan polis.-UTUSAN.