Boikot produk mula beri kesan kepada Israel – Walid

Boikot produk mula beri kesan kepada Israel – Walid

Walid Abu Ali (tengah) dalam sidang akhbar mengenai situasi terkini perang Palestin-Israel di Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur, semalam. – utusan/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seluruh dunia terutama negara-negara Islam perlu terus memboikot produk dan syarikat-syarikat yang menyumbang dan menyokong jenayah perang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, masyarakat dunia perlu memastikan peris­tiwa Nakba pada tahun 1948 tidak berulang.

Katanya, dunia perlu bersatu dan memberi harapan kepada Palestin bahawa kesengsaraan berterusan selama 75 tahun akibat dari kekejaman rejim Zionis akan dihentikan.

Kata beliau, 70 peratus daripada mangsa serangan Israel adalah rakyat biasa yang tidak bersalah, namun rejim Zionis tetap enggan mengambil peduli.

“Apa sahaja langkah yang diambil untuk menyokong Pales­tin adalah amat dihargai termasuk tindakan memboikot apa sahaja produk Israel atau francais yang menyokong rejim Zionis.

“Saya amat mengalu-alukan rakyat Malaysia, Palestin, negara-negara Arab, muslim dan semua yang percaya kepada hak manusia serta demokrasi untuk memboikot semua produk dan syarikat yang menyokong Israel,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, semalam.

Walid berkata, sejak tiga minggu lalu, masyarakat antarabangsa dapat melihat bagaimana kempen boikot yang dilakukan ke atas produk-produknya memberi kesan ekonomi kepada Israel.

“Ini adalah tekanan yang dilakukan terhadap kerajaan Israel yang mengamalkan keganasan terhadap Palestin. Tindakan ini akan menyedarkan mereka bahawa jenayah yang dilakukan itu turut memberi kesan kepada ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan kesedaran mengenai kempen boikot tersebut dapat dipertingkatkan.

“Ini adalah apa yang perlu difahami oleh seluruh masyarakat Malaysia, kita perlu tingkatkan kesedaran mengenai perkara ini,” katanya.

Walid berkata, Palestin amat menghargai sokongan seluruh rakyat Malaysia, malah sokongan itu merupakan antara sokongan besar yang diterima sejak berdekad lamanya.

“(Saya percaya) Malaysia akan terus memberi sokongan kepada Palestin. Apa yang Israel sedang promosi sekarang hanyalah satu bentuk propaganda kerana ketika ini semua rakyat Palestin sudah bersatu.

“Malaysia boleh memainkan peranan meyakinkan komuniti antarabangsa supaya kesengsaraan dihadapi rakyat Palestin dapat dinoktahkan,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya