Bersih longkang, parit, kolam takungan di Bandaraya Kuantan sebelum tengkujuh - Utusan Malaysia

Bersih longkang, parit, kolam takungan di Bandaraya Kuantan sebelum tengkujuh

ANTARA kerja-kerja pembersihan longkang yang dilaksanakan petugas Alam Flora di Bandaraya Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Syarikat konsesi penyelenggaraan di negeri ini diarahkan supaya sentiasa menyelenggara longkang, parit dan kolam takungan di Bandaraya Kuantan bagi berhadapan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang akan bermula pada 11 November ini dan berakhir pada Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, semalam beliau mengadakan perbincangan bersama syarikat konsesi terbabit antaranya Alam Flora, Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Roadcare (M) Sdn. Bhd. (Roadcare) dan YP Maintenance.

“Saya difahamkan longkang, parit dan kolam takungan di Kuantan sentiasa diselenggara secara berkala. Namun saya minta semua pihak terlibat agar meninjau kembali keadaan terkini semua longkang, parit dan kolam takungan di bawah selian mereka serta pastikan ia tidak ditumbuhi rumput, semak samun, dipenuhi sampah sarap, tersekat pasir atau batuan dan lain-lain.

“Ia bagi memastikan aliran air apabila hujan lebat ketika MTL dapat mengalir dengan lancar terutama di lokasi-lokasi yang sering terjadi banjir sebelum ini seperti di Taman Guru, Gudang Rasau, Sungai Isap, Permatang Badak, Bukit Ubi, Bukit Sekilau, Air Putih, Semambu, Batu 3, Kampung Jawa, Kampung Chendering, Kampung Pandan, Beserah, Taman Tas, Bukit Rangin dan lain-lain agar kejadian banjir di Bandaraya Kuantan dapat diatasi atau setidak-tidaknya dikurangkan.

“Semua konsesi perlu memainkan peranan mereka dengan pemantauan Majlis Bandarara Kuantan (MBK0 dan harus bekerjasama dengan baik antara satu sama lain. Kita tidak mahu rakyat fikir kenapa tidak diselenggara dengan baik. Kita menerima banyak aduan sebelum ini dan kita perlu beri perhatian sepenuhnya kerana rakyat adalah ‘share holder’ kepada kita (kerajaan),” katanya dalam kenyataan di sini.

MOHAMMAD FAKHRUDDIN Mohd. Ariff (kiri) ketika mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi penyelenggaraan longkang, parit dan kolam takungan di Kuantan, Pahang.

Mohammad Fakhruddin berkata, begitu juga aduan longkang yang berbau busuk di premis perniagaan sekitar Bandaraya Kuantan perlu diberi perhatian untuk diatasi.

“Teruskan melakukan yang terbaik tentang aspek penyelenggaraan longkang, parit dan kolam takungan di Bandaraya Kuantan ini. Perkara ini juga diambil berat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Kerajaan Pahang akan terus membantu dan memudahkan apa jua keperluan konsesi,” katanya.

Jelasnya, selaku Exco yang diberi amanah menjaga portfolio Kerajaan Tempatan, beliau berharap semua syarikat konsesi terlibat akan melaksanakan tugas ini dengan penuh amanah dan dedikasi demi keselesaan rakyat dan menjaga imej baik Bandaraya Kuantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya