SEREMBAN: Jabatan Penjara Malaysia mengalu-alukan lebih banyak institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini untuk tampil bekerjasama dengan jabatan berkenaan bagi menawarkan peluang kedua kepada banduan bagi mendapatkan peluang pendidikan.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, menerusi bidang pendidikan ia dapat membuka pintu kepada banduan terlibat untuk mendapatkan pendidikan lebih tinggi, pekerjaan yang lebih baik sekali gus kehidupan yang memuaskan selepas bebas.
Beliau berkata, dalam hal tersebut, setakat ini pihaknya ada menjalankan kerjasama dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Kami memang menggalakkan dan memberi peluang kepada banduan mengikuti kelas akademik. Realitinya, akses pendidikan penting untuk dibuka kepada banduan kerana ia dapat melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya selain kelulusan yang diperoleh diiktiraf IPT tempatan.
“Dengan itu, diharap masyarakat dan majikan juga jangan menolak, beri peluang kedua kepada mereka bagi menyumbang tenaga dan modal insan kepada negara.
“Meskipun diakui banyak majikan gusar untuk mengambil mereka bekerja kerana stigma masyarakat, taraf kelayakan dan pendidikan, namun kita perlu terus bantu dan beri sokongan kepada mereka. Menerusi penerimaan tersebut, mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik selain menjadikan diri mereka lebih bersifat terbuka, sekali gus menjauhi gejala negatif yang lain,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Koreksional Pembentukan Diri Resilien 2023 di Dewan Wawasan, Penjara Seremban di sini hari ini.
Kata Ibrisam, setakat ini program pengajian OUM di Penjara Kajang terdapat seorang banduan sedang menyambung pengajian dalam peringkat doktor falsafah, dua orang peringkat sarjana, tiga orang peringkat sarjana muda dan lima orang mengikuti pengajian diploma.
“Sementara itu seramai 19 orang pelajar mengikuti pengajian peringkat diploma di UPSI dan 47 orang pelajar mengikuti pengajian di Asia College of Exerxice Medicine, ia merupakan satu perkara yang positif agar mereka dapat merancang kehidupan pada masa depan,” tambahnya.
Kata beliau lagi, di penjara selain program kerohanian beberapa latihan vokasional turut ditawarkan di penjara yang direka khusus untuk mengajar kemahiran berkaitan pekerjaan agar mendapat permintaan dalam pasaran kerja tempatan.
“Ini usaha yang dibantu supaya mereka mempunyai kekuatan untuk kembali bina kehidupan semula dan sedikit demi sedikit mentaliti jenayah sudah tidak ada.
“Jabatan Penjara justeru mengalu-alukan lebih banyak program kerjasama bersama IPT ini demi pemulihan pesalah.
“Ini kerana dengan peluang pendidikan kepada banduan ia dapat meningkatkan kebolehpasaran dan membolehkan mereka mengakses pelbagai peluang pekerjaan dan mengambil langkah ke arah membina masa depan berjaya selepas bebas,” katanya.-UTUSAN.