Bendera gergasi tanda solidariti untuk Palestin - Utusan Malaysia

Bendera gergasi tanda solidariti untuk Palestin

Bendera Palestin bersaiz gergasi yang diarak pada program Himpunan Solidariti Palestin, di pekan Rembau, semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sehelai bendera Palestin bersaiz gergasi yang dihasilkan oleh seorang bekas ketua kampung menjadi perhatian pada program Himpunan Solidariti Palestin anjuran beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pekan Rembau di sini semalam.

Pengerusi Kelab Belia Legasi Anak Rembau, Akmal Noradzmi Abd. Rahim berkata, bendera bersaiz 9×20 meter itu telah dibuka dan kemudian diarak bersama-sama oleh peserta himpunan itu setelah berjaya disiapkan oleh bekas Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Lada, Mohamad Shamsuri Musa.

“Lebih lima NGO dan agensi setempat bergabung menganjurkan himpunan ini. Kami ucapkan terima kasih kepada penduduk-penduduk Rembau dan luar daerah ini kerana hadir bersolidariti menunjukkan sokongan dan kasih sayang kita kepada rakyat Palestin.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang beberapa orang dari Rembau akan terbang ke tanah Palestin tahun hadapan menjadi sukarelawan,” katanya pada program yang disertai oleh 1,000 terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Sementara itu, Penaung Pertubuhan Amal Anak Rembau (PAAR), Zaiton Othman pula berkata, himpunan berkenaan adalah bagi memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat supaya cakna mengenai isu Palestin.

“Kami gembira apabila ada ibu bapa yang turut membawa anak-anak mereka yang masih kecil untuk sama-sama berarak menyampaikan mesej bersolidariti buat Rakyat Palestin.

“Tindakan biadab Israel ini sangat tidak boleh diterima dan menjadi tanggungjawab umat Islam termasuklah institusi kekeluargaan mendidik keluarga masing-masing untuk tidak mengambil ringan mengenai apa yang berlaku di Gaza, Palestin,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya