Belum penamat buat skuad hoki

Belum penamat buat skuad hoki

SPEEDY Tigers perlu berusaha gigih dalam kelayakan Olimpik Januari depan. - IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semangat skuad hoki lelaki untuk memburu tiket ke pentas Olimpik Paris 2024 tidak pernah luntur biarpun mereka dikejutkan dengan penyingkiran daripada program Road To Gold (RTG), kelmarin.

Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, skuad Speedy Tigers akan menyerap keputusan berkenaan sebagai satu suntikan motivasi untuk berusaha lebih gigih pada kejohanan kelayakan Olimpik Januari depan.

“Kita kena faham, sebelum ini, kita dimasukkan dalam RTG kerana berada dalam kelompok 10 terbaik dunia. Selepas Sukan Asia Hangzhou kita terkeluar daripada kelompok itu dan sudah tentu kita tidak menepati kriteria untuk dikekalkan.

“Kita akan beraksi pada kempen kelayakan Olimpik Januari depan dan saya berharap pemain dan pasukan akan memberi fokus terbaik untuk layak secara merit ke pentas Olimpik Paris.

“Selepas itu kita lihat bagaimana. Saya rasa, ini satu motivasi kepada pemain untuk pastikan kita capai misi yang disasarkan bagi menerima lebih banyak bantuan yang disalurkan,” kata Mirnawan.

Terdahulu, jawatankuasa RTG yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membuat keputusan menggugurkan Speedy Tigers selepas aksi hambar di Sukan Asia.

Pada Sukan Asia Hangzhou yang menjanjikan tiket automatik ke Paris 2024, anak-anak buah A. Arul Selvaraj menduduki tempat keenam dan gagal menepati ramalan meraih emas.

Bagaimanapun, peluang masih terbuka buat hoki yang kini menduduki ranking ke-12 dunia untuk menyertai kembali program elit itu seandainya mereka menepati syarat yang ditetapkan.

“Jawatankuasa RTG bersetuju untuk memasukkan semula pasukan hoki lelaki ke dalam program sekiranya mereka layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Selepas ini masih ada kelayakan Olimpik untuk hoki iaitu pada Januari depan di Muscat, Oman atau di Valencia, Sepanyol,” kata Hannah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya