Bapa tiga anak bebas tuduhan edar 65,689 gram dadah - Utusan Malaysia

Bapa tiga anak bebas tuduhan edar 65,689 gram dadah

MOHAMMAD Hafizuddin Mohammad (dua dari kiri) selepas dibebaskan Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas pertuduhan mengedar dadar tiga tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini melepas dan membebaskan seorang lelaki daripada pertuduhan mengedar dadah bernilai RM7.2 juta di Telok Kemang, Port Dickson tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Hafizuddin Mohammad, 31, yang juga bekerja sebagai ‘beach boy’ juga tidak dipanggil untuk membela diri selepas Hakim, Datin Rohani Ismail mendapati selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan pertama iaitu pada pukul 7 pagi, 14 Mei 2020 di kawasan tepi laut berhampiran Marina Bay, Batu 6, Jalan Pantai, Telok Kemang, Port Dickson Mohammad Hafizuddin dituduh mengedar bahan disyaki dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 51,895 gram.

Sehubungan itu dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama, dia dituduh mengedar bahan disyaki dadah berbahaya iaitu 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 13,794 gram.

Sehubungan itu dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Untuk kedua-dua pertuduhan, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ala’uddin Baharom, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddin ketika ditemui pemberita selepas itu, menyatakan rasa kelegaan dengan keputusan tersebut.

“Kes ini memang beri kesan kepada keluarga saya, isteri terpaksa menanggung tiga orang anak yang masih kecil sendirian sepanjang saya dalam penjara,” katanya.

Media pada 18 Mei 2020 melaporkan, polis dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bernilai RM7.2 juta menggunakan jalan laut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din dilaporkan berkata, ia susulan tangkapan tujuh ahli sindiket dalam empat serbuan dilakukan di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor pada 9 hingga 14 Mei 2020.

Kesemua suspek merupakan lelaki berusia antara 24 hingga 44 tahun dan tiga daripadanya adalah warganegara Indonesia.

Tangkapan suspek membawa kepada penemuan sebanyak 112.7 kilogram pelbagai jenis dadah di kawasan semak di tepi pantai Teluk Kemang dengan dadah dibungkus dengan bungkusan serbuk teh.

Hasil siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN