Bantuan Ru'RASA untuk kemudahan tempat tinggal selesa hingga ke akhir hayat - Al-Sultan Abdullah - Utusan Malaysia

Bantuan Ru’RASA untuk kemudahan tempat tinggal selesa hingga ke akhir hayat – Al-Sultan Abdullah

AL-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (atas, dua dari kiri) dan wakil Kerajaan UAE (dua dari kanan) bersama penduduk ketika melawat bahagian dalam Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) di Kampung Kedondong di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, reka bentuk kediaman bertiang dan tidak bertiang antara ciri utama keselamatan serta keselesaan bagi penerima bantuan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) berasaskan lokasi setempat.

Baginda bertitah, reka bentuk Ru’RASA memenuhi ciri langkah keselamatan, iaitu binaan bertiang sekurang-kurangnya mengelakkan musibah banjir khususnya lokasi yang berdekatan sungai.

“Pembinaan rumah ini ditentukan menerusi pelan reka bentuk disediakan oleh kontraktor yang dilantik bagi keselesaan penerimanya berasaskan lokasi setempat serta jaminan keselesaan dan selamat bagi keluarga berkenaan hingga ke akhir hayat.

“Pemilihan penduduk yang menerima rumah ini diputuskan oleh Pejabat Daerah masing-masing berasaskan kelayakan tertentu seperti mereka yang memerlukan dan kediaman pernah rosak akibat bencana alam seperti banjir dan sebagainya,” titah baginda pada majlis penyerahan replika kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada seorang penerima, Rozi Yaacob di Kampung Kedondong, Pulau Tawar di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah mengucapkan tahniah kepada penerima rumah berkenaan dan menitahkan supaya mereka menjaganya dengan baik dan menjadikan kediaman tersebut untuk membina keluarga bahagia dan jangan sesekali dijual.

Seri Paduka turut mengurniakan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan selepas meninjau rumah setingkat bertiang berkeluasan 89.1 meter persegi yang mempunyai ruang makan, tiga bilik, tiga bilik air, dilengkapi perabot termasuk set bilik tidur.

Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat mengurniakan sumbangan Ru’RASA yang dibina dengan kerjasama kerajaan UAE kepada dua lagi penerima di Kampung Bukit Rang, mukim Pulau Tawar selepas majlis tersebut.

Bagi daerah ini, sebanyak 22 buah rumah Ru’RASA dibina pada bulan Mei dan siap bulan Ogos tahun ini melibatkan harga RM75,000 bagi rumah tanpa tiang dan rumah bertiang RM100,000.

Rozi yang menetap di Kampung Kedondong di sini sejak 20 tahun lalu berkata, dia dan isterinya, Siti Hawa Abdul Ghani, 51, dan lima orang anak yang berusia 10 hingga 23 tahun tidak menjangka menerima kurniaan setelah rumah pusaka milik mentuanya rosak kerana kerap dilanda banjir pada 2014.

“Kami bersyukur dengan bantuan rumah baharu ini daripada Al-Sultan Abdullah kerana tidak menyangka masalah yang kami hadapi selepas banjir, iaitu rumah pusaka rosak mendapat perhatian baginda,” katanya.

Sebelum ini, kediaman Rozi yang terletak berdekatan kira-kira 150 meter dengan Sungai Pahang itu kerap dinaiki banjir dan paling ketara bah merah 2014 lalu merosakkan keseluruhan rumah pusaka itu dan mereka terpaksa membina pondok sementara untuk berteduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya