KUALA NERUS: Lebih 150 keluarga dari Taman Murni Permai dekat Kampung Tok Jembal di sini merupakan kumpulan terawal yang dipindahkan dalam gelombang pertama banjir di daerah ini berikutan hujan berterusan sejak dua hari lalu.
Kebanyakan mangsa banjir itu dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tok Jembal sejak awal pagi tadi.
Salah seorang penduduk, Mohd. Zaki Idris, 62, berkata, kejadian sekitar pukul 3 pagi itu berlaku ketika mangsa terlibat sedang tidur.
Menurutnya, dia hanya menyedari banjir melanda selepas dikejutkan oleh menantunya yang memberitahu air sudah masuk ke dalam rumah.
“Sebaik bangun daripada tidur saya terkejut apabila mendapati air sudah mencecah paras pinggang dan segera menyelamatkan dokumen-dokumen penting.
“Walaupun sudah bersedia dengan musibah banjir, perkakas elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk serta perabot hampir tenggelam namun saya redha.
“Tahun lalu juga kami melalui situasi sama tetapi kali ini saya bimbang kejadian lebih buruk kerana (banjir) datang lebih awal,” katanya ditemui di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal di sini, hari ini.
Sementara itu, Ruhani Muhamad, 60, berkata, kejadian berlaku terlalu cepat sehingga mencemaskan mereka enam beranak.
Menurutnya, paras air yang mencecah paras pinggang memaksa mereka sekeluarga meninggalkan kediaman dan berpindah ke PPS di sini yang mula dibuka jam 4 pagi.
“Banjir pada penghujung 2022 sudah teruk namun kali ini rasanya lebih teruk lagi kerana tak sangka banjir walaupun amaran cuaca buruk sudah dikeluarkan.
“Memang hujan tidak berhenti sejak beberapa hari lalu dan sudah mengangkat barang-barang ke tempat selamat namun tetap ditenggelami air,” katanya.
Sejak dibuka awal pagi tadi, PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal telah menempatkan lebih 150 keluarga dari Taman Murni Permai dan Taman Uda yang terjejas dengan jumlah itu dijangka bertambah. – UTUSAN