Bagnaia harap tuah berlumba dalam hujan

Bagnaia harap tuah berlumba dalam hujan

Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia (kiri) bersama pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin akan berentap pada perlumbaan Petronas Grand Prix Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang minggu ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia menjangkakan perlumbaan Grand Prix Malaysia pada hujung minggu ini berlangsung sengit dengan keadaan cuaca tidak menentu menjadi halangan terbesar pelumba di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagnaia yang bernaung di bawah pasukan Ducati Lenovo Team itu berkata, ramalan hujan pada hari perlumbaan mampu menukar suasana perlumbaan menjadi lebih tegang dan ia sudah tentu menjadi salah satu tarikan kepada para peminat.

“Apa yang boleh saya katakan ialah Sepang merupakan trek kegemaran saya dan saya sentiasa senang berada di sini.

“Tetapi, saya juga memerlukan sedikit tuah dengan mengharapkan sinaran matahari menyinar pada hari perlumbaan,” katanya dalam sidang media menjelang GP Malaysia di sini, hari ini.

Hanya dipisahkan 13 mata di belakang pesaing terdekat, Jorge Martin dari pasukan Prima Pramac Racing dalam senarai pelumba MotoGP, pelumba Itali itu memberitahu, pengalamannya dalam perlumbaan lalu, menjadi kunci kepadanya untuk melepaskan tekanan yang semakin dirasai dalam usahanya mengekalkan kedudukan pendahulu.

Dengan perlumbaan berbaki tiga pusingan termasuk di Malaysia, pelumba berusia 26 tahun itu kini mengumpul 389 mata diikuti Martin yang mengutip 376 mata, manakala, Marco Bezzecchi dari pasukan Mooney VR46 Racing Team berada di tempat ketiga dengan catatan 310 mata.

Sementara itu, Martin dalam sidang akhbar sama berkata, dia sempat berehat selama seminggu di Bali, Indonesia sebelum terbang ke Malaysia dalam usahanya mencari ketenangan sebelum musim disambung semula di Sepang.

“Saya sangat gembira dapat berehat selama seminggu. Saya berjaya memulihkan kembali semangat dan tidak sabar untuk berlumba di sini,” ujarnya.

Penunggang Sepanyol itu berkata, merangkul gelaran secara berturut-turut di GP Indonesia dan Thailand, bulan lalu, kini menjadi pemangkin keyakinannya menjelang GP Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya