PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See semakin hampir untuk menamatkan penantian selama enam tahun untuk bergelar juara selepas mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur 2023, semalam.
Pilihan pertama kejohanan ini menyingkirkan pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun di peringkat separuh akhir dengan keputusan 21-10, 22-20 dan akan berdepan beregu Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong hari ini.
Terdahulu Teeraratsakul dan Muenwong menumpaskan pasangan muda negara, Choong Hon Jian-Go Pei Kee 17-21, 17-21, sekaligus menafikan pertemuan sesama Malaysia di pentas final hari ini.
Bagi Peng Soon yang kini berusia 35 berharap dapat menghabiskan kejohanan ini sebagai juara memandangkan kali terakhir dia dan Yee See berjaya merangkul gelaran adalah pada 2017 ketika Kejohanan Terbuka Rusia.
“Memang saya sangat gembira dapat menjejakkan kaki ke final biarpun kejohanan ini hanya bertaraf Super 100. Saya dan Yee See telah beraksi dengan baik dan kami semakin yakin.
“Bagi saya kejohanan ini tetap penting untuk saya dan Yee See, kerana sebelum beraksi di sini, kami tidak meraih sebarang keputusan yang memberangsangkan, jadi kami tidak mahu terlalu fikir terlalu banyak. Tetapi kini peluang sudah ada, kami akan cuba berhabisan-habisan.
“Rehat satu hari (suku akhir) memang bagus, untuk pemain macam saya, ia membuatkan saya lebih segar untuk perlawanan hari ini (semalam). Tetapi tempo permainan saya terganggu sedikit sebab cuti sehari membuat saya rasa tidak selesa,” kata Peng Soon merujuk kepada kemenangan percuma yang diberikan kepada mereka ketika peringkat suku akhir.
Jika mereka berjaya menaiki podium sebagai pemenang, ia bakal menjadi gelaran Jelajah Dunia yang pertama buat Peng Soon-Yee See sejak mula kembali bersama pada tahun lalu.
“Esok sudah pun perlawanan terakhir, jadi kami akan cuba membuat persediaan yang rapi untuk menentang pasangan Thailand itu,” jelas Yee See. – UTUSAN