SHAH ALAM: “Saya doakan ayah selamat dekat Lubnan.”
Demikian doa Muhammad Shakeel Naufal, iaitu anak kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohamad Shahrul Kusaeri yang merupakan salah seorang anggota dalam pasukan Malaysia Battalion (MALBATT) 850-11 yang berlepas ke Lubnan, semalam.
Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu seperti memahami tugas ayahnya sebagai seorang anggota tentera yang ditugaskan selama 12 bulan ke Lubnan dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL).
“Ayah pergi Lubnan, hendak berperang. Semoga ayah selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua MALBATT 850-11 di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, semalam.
KETIADAAN
Sementara itu, isteri Mohamad Shahrul, Shamsuriana Manat, 32, tidak dapat membayangkan situasi ketiadaan suami hampir setahun kerana bertugas di luar negara.
“Suami tak pernah bertugas di luar negara dan dia tidak meminta pun untuk bertugas ke sana. Cuma sebelum ini dia ada memberitahu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengarahkannya bertugas di Lubnan.
“Dia tak tolak, sebaliknya menganggap itu sebagai rezeki. Niat baiknya mahu berbakti kepada negara dan masyarakat. Semoga suami selamat pergi dan balik demi anak dan isteri. Saya tunggu dia balik,” luahnya.
Terdahulu, seramai 216 dalam pasukan kedua MALBATT 850-11 diketuai Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad berlepas menggantikan MALBATT 850-10 di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Tibinin.
Selain pasukan negara, turut serta bersama adalah pasukan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang melibatkan seramai 30 orang terdiri daripada tiga pegawai dan 27 anggota.
Kumpulan seterusnya akan bertolak ke Lubnan pada 12 dan 16 November ini. Kumpulan pertama sebelum ini bertolak pada 2 November lalu.
Seramai 854 kekuatan pasukan keseluruhan menyertai misi tersebut melibatkan 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat dari negara ini dan tiga pegawai serta 27 anggota dari ABDB selain seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penyertaan pasukan pertahanan negara dan Brunei menyertai misi pengaman itu sebagai komitmen ATM di bawah panji-panji PBB khususnya di Lubnan.
“Tidak dinafikan penglibatan ATM melalui Kontinjen MALBATT di Lubnan jelas berjaya mendapat pengiktirafan dan kepercayaan antarabangsa. Kepercayaan ini jelas membuktikan ATM mampu memainkan peranan misi pengaman setanding angkatan tentera negara lain.
“Peranan dan penglibatan itu membuktikan Malaysia sangat komited dalam melaksana misi bantuan kemanusaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan keamanan dan keselamatan sejagat dipertahankan,” jelasnya. – UTUSAN