KOTA BHARU: Pelantikan Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat dilihat memberi nilai tambah kepada parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pengalaman dan kebolehan yang dimiliki oleh kedua-dua ‘figura’ itu mampu memberi memanfaatkan kepada perjuangan Islam.
Menurutnya, pada masa sama mereka merupakan orang lama dalam politik dan mempunyai pengalaman dalam mentadbir negara selaku bekas menteri.
“Saya rasa kita ada nilai tambah dan pada masa sama kedua-dua ‘figura’ ini boleh menyumbang kepada parti secara rasmi atas nama kepimpinan Pas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Konvensyen Integriti Negeri Kelantan Tahun 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Annuar dan Shahidan merupakan antara sembilan AJK Pas yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Pelantikan itu menyaksikan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Besar Kelantan memberitahu, beliau optimis
Annuar mampu membentuk gabungan mantap bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selaku Pengarah Pilihan Raya Pas.
Katanya, Kedua-dua pemimpin itu mempunyai keistimewaan dan pengalaman masing-masing dalam arena politik tanah air.
“Sanusi lahir dan berjuang dalam Pas serta tahu perjuangan parti ini macam mana. Annuar ada banyak pengalaman dalam mentadbir organisasi peringkat kebangsaan sama ada politik atau tidak. Jadi saya rasa gabungan ini sangat baik,” ujarnya.