Aminuddin beri penjelasan cadangan kerajaan semak tarif air - Utusan Malaysia

Aminuddin beri penjelasan cadangan kerajaan semak tarif air

AMINUDDIN Harun melawat gerai yang dibuka sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cadangan kerajaan untuk menyemak kadar tarif air di negeri ini bukan bertujuan menjadikan pengendali industri tersebut kaya dan mewah. 

Sebaliknya, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, semua kos daripada industri yang menyokong sistem bekalan air telah naik beberapa kali tetapi tarif air tetap sama lebih 20 tahun lalu.

Beliau berkata, kos seperti bekalan elektrik, bahan yang digunakan untuk merawat air dan penyelenggaraan dan pembaikkan sistem agihan air telah meningkat dengan ketara.

“Malah gaji pekerja dalam industri air juga perlu dinaikkan sejajar dengan imbuhan yang diterima pekerja dalam sektor lain dalam negara ini.

“Kerajaan negeri memohon para pengguna memahami situasi sukar yang sedang dihadapi oleh industri bekalan air bukan saja di negeri ini malah di seluruh negara,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Negara 2023 peringkat negeri di sini hari ini.

Menurutnya, kali terakhir tarif air domestik dinaikkan di negeri ini adalah pada tahun 2002 dan industri itu terus bertahan sejak itu walaupun kos sampingan naik daripada semasa ke semasa.

Jelasnya, kos bagi merawat dan membekalkan air bersih kepada pengguna pada masa ini adalah sebanyak RM1.05 sen untuk setiap liter padu.

“Pengguna domestik hanya dikenakan caj 55 sen bagi setiap 20 liter padu.

“Tarif air di Negeri Sembilan adalah antara yang terendah di negara ini dan operator air di negeri masih mempunyai hutang dengan kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Aminuddin menarik perhatian, beliau memberi penjelasan panjang lebar mengenai isu kenaikan tarif air bagi menyangkal perbuatan pihak tertentu yang gemar membangkit isu secara di permukaan semata-mata.

Tambahnya, penjelasan secara teliti dan mendalam akan membolehkan masyarakat menerima hujah secara rasional kerana ia membabitkan masa depan industri itu untuk terus menawarkan perkhidmatan secara cekap dan berkesan.

“Masyarakat mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap bekalan air. Mereka mahu ada air bila buka paip, air itu pula mesti bersih. Tetapi industri bekalan air tidak mampu memenuhi jangkaan ini jika ia terus terbeban dengan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan tarif itu akan diputuskan oleh Kabinet berdasarkan kajian yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak beberapa tahun lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya