KOTA BHARU: Skuad Piala Emas Raja-raja Kelantan mahu memburu bekalan selesa pada aksi suku akhir pertama berdepan naib juara musim lalu Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini petang esok.
Pengendalinya Sazami Shafii berkata, kesempatan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menjaringkan seberapa banyak gol sebagai bekalan menjelang suku akhir kedua nanti.
Menurutnya, bagaimanapun berdepan Selangor bukan tugas mudah memandangkan lawan merupakan sebuah pasukan yang mantap di segenap posisi selain sudah membuat persiapan sejak Januari lalu.
“Insya-Allah, kita akan memberikan aksi terbaik dan saya harap barisan pemain yang diberikan kepercayaan dapat bermain dengan semangat juang tinggi serta mengikut perancangan pasukan.
“Saingan musim ini, Kelantan mengambil langkah berani dengan mempertaruhkan bakat-bakat muda umur yang berusia bawah 20 tahun untuk memperkuatkan pasukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sazami memberitahu, dia berharap barisan pemain tidak mudah hilang fokus dan ‘bijak’ dalam menyerap tekanan sepanjang aksi 90 minit itu nanti.
Katanya, dia turut menagih sokongan penyokong untuk beramai-ramai ke stadium bagi memberikan semangat kepada pemain Kelantan.-UTUSAN