JOHOR BAHRU: Setelah mengharungi perlawanan mengecewakan, skuad remaja kebangsaan akhirnya menebus maruah mencatat kemenangan 3-2 ke atas Afrika Selatan dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di sini, semalam.
Kemenangan membolehkan tuan rumah menamatkan saingan di tempat ketujuh dan mengelak menduduki tangga tercorot.
Pengendali Young Tigers, Mohamad Amin Rahim berasa lega setelah pasukan bimbingan berjaya mengakhiri kemarau kemenangan dengan menewaskan Afrika Selatan.
Katanya, dia akan membuat bedah-siasat secepat mungkin bagi mengenal pasti kelemahan serta menilai aspek yang perlu diperbaiki memandangkan sudah kesuntukan masa untuk membuat persiapan menjelang Piala Dunia Remaja bulan depan.
“Kita kena terima hakikat masih banyak ruang yang perlu ditambah baik, justeru kita akan buat bedah-siasat apabila pulang nanti. Kita akan kaji kelemahan dan perbaiki secepat mungkin sebab masa semakin suntuk.
“Pukulan sudut penalti adalah antara aspek yang perlu diberi tumpuan, kita berjaya mendapatkan peluang itu tapi peratusan penyudahnya masih rendah dan kurang tajam, dan saya tak boleh salahkan flicker semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Tambahnya, pihaknya akan cuba mendapatkan kembali khidmat Christopher Ciriello bagi membantu memperkemaskan aspek pukulan sudut penalti.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi gol padang Viwe Mbata yang bertindak pantas menguis bola melepasi kawalan penjaga gol, Rafaizul Sani.
Kelebihan skuad bimbingan Guy Elliot itu tidak bertahan lama apabila Young Tigers menyamakan kedudukan pada minit ke-12 apabila Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar membiaskan pukulan Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib.
Pada separuh masa pertama itu, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan walaupun Afrika Selatan memperoleh lima pukulan sudut penalti manakala skuad remaja kebangsaan mendapat empat peluang. – UTUSAN