Aidil, Jun Hao idam pertemuan sesama Malaysia

Aidil, Jun Hao idam pertemuan sesama Malaysia

AKSI pemain kebangsaan, Aidil Sholeh ketika menentang pemain Singapura, Jason Teh dalam suku akhir lelaki perseorangan Kejohanan KL Masters 2023 di Stadium Titiwangsa, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan pemain perseorangan lelaki negara mengharapkan agar pertemuan sesama Malaysia akan berlaku menjelang perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa esok.

Begitupun wakil negara yang terdiri daripada Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Leong Jun Hao perlu melepasi cabaran peringkat separuh akhir hari ini menentang lawan masing-masing untuk merealisasikan impian tersebut.

Aidil yang mempamerkan ke­bangkitan semalam menentang peman Singapura, Jason Teh dengan keputusan 21-18, 5-21, 21-13 akan membuat perhitungan dengan pilihan pertama kejohanan dari Taiwan, Lee Chia Hao.

Sementara Jun Hao pula menunjukkan kelas yang tersendiri ketika menyingkirkan juara remaja dunia 2022, Kuan Kuo Lin 21-16, 21-5 akan berdepan pemain Korea Selatan, Choi Ji Hoon.

“Esok (hari ini) kalau lebih ramai datang menyaksikan perlawanan separuh akhir, saya akan lebih bersemangat untuk gamatkan Stadium Titiwangsa. Siapa pun lawan saya, saya akan cuba habis-habisan di dalam gelanggang.

“Saya pernah bertemu dengannya sebelum ini (Chia Hao) tetapi ketika itu saya tewas,” jelas Aidil merujuk kepada ke­kalahan di tangan pemain Taiwan ketika Kejohanan Master New Orleans di Perancis tahun lalu.

Bagi Jun Hao pula, walaupun dia telah pun melepasi sasaran peribadi untuk layak ke separuh akhir Masters Kuala Lumpur, namun bekas juara remaja Asia ini mahu meneruskan momentum kemenangannya menentang Jin Hoon.

Atas kertas ranking Jun Hao adalah jauh lebih tinggi daripada Jin Hoon iaitu di tangga ke 43 dunia berbanding lawannya itu di kedudukan 215, namun pemain Korea Selatan itu telah mencipta kejutan menyingkirkan pemain ternama India, Sameer Verma di separuh akhir semalam.

“Bagi saya masih ada dua pusingan lagi (separuh akhir dan akhir), dan ia masih lagi dianggap jauh untuk menggenggam kejuaraan. Apapun sasaran yang telah saya tetapkan saya sudah berjaya mencapainya, iaitu mara ke separuh akhir.

“Saya hanya perlu teruskan fokus saya di dalam gelanggang, dan kalau boleh cuba dapatkan gelaran juara,” kata Jun Hao. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya