Ah long didakwa lempar sos cili di rumah peminjam wang - Utusan Malaysia

Ah long didakwa lempar sos cili di rumah peminjam wang

KOK Kar Wei dibawa ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan khianat selain mengganggu seorang peminjam wang di Nilai, Seremban pada 30 Oktober lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang ‘ah long’ mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan khianat melempar sos cili di pekarangan rumah seorang peminjam wang, pada 30 Oktober lalu.

Tertuduh, Kok Kar Wei, 23, yang juga merupakan seorang mekanik membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan khianat iaitu melemparkan plastik yang mengandungi cecair cili merah ke rumah seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan peminjam wang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Laman Dahlia Nilai Impian, Nilai kira-kira pukul 9 malam, 30 Oktober lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. 

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. 

Terdahulu, peguam Amirul Hakim Ahmad Mahazir yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum dengan mengambil kira kerjasama tertuduh yang datang dari Johor Bahru, Johor.

Ahmad Mahazir berkata, tertuduh telah menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai selain menanggung isteri serta seorang anak berusia dua tahun. 

Dalam prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusppa itu, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap tertuduh, jika gagal bayar boleh dipenjara selama lima bulan. 

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Seremban, tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman wang tanpa lesen mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengganggu seorang peminjam wang dan ahli keluarganya dengan menyimbah sos merah di pekarangan rumah dan pagar mangsa serta memberikan notis ugutan. 

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama iaitu sebuah rumah di Laman Dahlia Nilai Impian, Nilai kira-kira pukul 9 malam, 30 Oktober lalu. 

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan di bawah Seksyen 29B(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dengan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. 

Hakim, Mazni Nawi menetapkan tertuduh dberikan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. 

Prosiding di Mahkamah Sesyen dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M.Kalaivaanan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya