TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunggang gajah bernama Myainton Pian berusia 49 tahun sempena lawatan Putera Monaco, Putera Albert II ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK ) Kuala Gandah, Lanchang di sini hari ini.
Turut berkenan menunggang gajah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Putera Menaco menunggang gajah bernama Alang yang dikawal mahut yang terlatih di PKGK Kuala Gandah.
Al-Sultan Abdullah, Tengku Hassanal dan Putera Albert II dilihat begitu teruja menunggang gajah yang suatu ketika dahulu kenderaan utama kerabat diraja dan pembesar istana.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menonton pertunjukan dengan latihan asas berkaitan konservasi dan semulajadi gajah dan melihat haiwan berkenaan mandi.
Sempena lawatan baginda, sebanyak tujuh ekor gajah menunjukkan aksi iaitu Abot, Alang, Myainton Pian, Kasturi, Timur dan Lasa.
Sehingga kini, sebanyak 25 ekor gajah berada di PKGK Kuala Gandah yang menjadi daya tarikan pengunjung domestik dan antarabangsa. – UTUSAN