JERANTUT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) cawangan kelima di Jerantut di Taman Impian Permai di sini.
Berkenan berangkat sama, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Pusat Hemodialisis YASA Jerantut merupakan pusat hemodialisis yang kelima yang ditubuhkan oleh yayasan itu yang beroperasi pada Isnin hingga Sabtu dari pukul 7 pagi hingga 5 petang.
Pusat itu mempunyai 12 mesin dialisis dan os rawatan pesakit ditaja sepenuhnya oleh YASA.
Penubuhan pusat hemodialisis YASA terbabit bertujuan menyahut seruan dan membantu kerajaan kerana pesakit yang memerlukan rawatan dialisis begitu ramai dengan jumlah kes baharu mencecah 8,000 kes setahun.
Empat pusat hemodialisis YASA yang lain ialah di Taman Melati, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dibuka pada 28 Julai 2022, di Pekan, Pahang (pada 11 Disember 2021), di Setiawangsa (pada 12 Ogos 2020) dan di Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (pada 7 Ogos 2019).
Pada 2022, keempat-empat pusat hemodialisis YASA sudah menyediakan rawatan dialisis berjumlah hampir 20,363 rawatan sebulan dengan peratusan penggunaan mesin di setiap pusat ialah antara 95 dan 100 peratus.
YASA dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga sedang menyediakan pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang keenam di Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan pada awal tahun depan.
Selain berkenan menyempurnakan perasmian Pusat Hemodialisis YASA Jerantut, seri paduka turut meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit-pesakit yang menjalani rawatan di pusat hemodialisis tersebut.
Seri Paduka turut berkenan menyaksikan penyerahan kunci ambulans pertama kepada YASA yang dilengkapi defibrillator dan ventilator (alat bantuan pernafasan) bagi tujuan bantuan dan rawatan kes trauma dan kecemasan.
Operasi ambulans ini diketuai seorang doktor pemantau bersama dua pembantu perubatan dan tiga orang pemandu tetap yang sentiasa bersiap siaga.
Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan dan penaja yang memberikan sokongan serta sumbangan kepada usaha murni menjayakan penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Jerantut.
Keprihatinan tinggi seri paduka baginda terhadap pesakit-pesakit buah pinggang kronik dan juga keperluan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang tidak berkemampuan, khususnya dari golongan M40 dan B40.
Kesulitan rakyat ini mendorong baginda menubuhkan pusat-pusat hemodialisis bagi membantu meringankan bebanan kewangan golongan berkenaan.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru lebih ramai individu dan pihak swasta tampil membantu golongan sasar mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan.
Seri Paduka mendoakan agar pesakit-pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis diberikan kekuatan dan kesabaran kerana ia bukan kehidupan yang mudah, malah penuh cabaran, risiko dan komplikasi kesihatan.
Baginda turut menasihati rakyat untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pemakanan harian serta mengelakkan produk-produk yang boleh memudaratkan buah pinggang. – UTUSAN