ADUN Pulai Sebatang sedia tuisyen percuma - Utusan Malaysia

ADUN Pulai Sebatang sedia tuisyen percuma

HASRUNIZAH HASSAN (tengah) melawat gerai pameran program Pontian di Hatiku di Rumah Pangsa Taman Megah, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seramai 20 murid daripada keluarga yang tinggal di Rumah Pangsa Taman Megah di sini dipilih sebagai peserta perintis program tuisyen percuma anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan berkata, pada permulaan murid-murid sekolah rendah diberi keutamaan sebelum program itu diperluaskan kepada pelajar sekolah sekolah menengah.

Katanya, tuisyen percuma itu akan dikendalikan oleh bekas guru yang berada di taman tersebut sebagai salah satu usaha membantu murid-murid tersebut cemerlang dalam bidang akademik.

“Kelas ini akan bermula pada Januari tahun depan dan berharap pemilihan murid yang layak dapat dilakukan oleh guru-guru berkenaan sebelum program tersebut bermula,” katanya selepas merasmikan program Pontian Di Hatiku Zon 3 di Rumah Pangsa Taman Megah, di sini.

Yang turut hadir, Wakil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Mohd. Faizal Othman; Ahli Majlis Zon A, Muhd.  Helmi Buang dan Ketua Kampung Kawasan (3) Mukim Pontian, Zaini Saat.

Hasrunizah berkata, usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat bukan sahaja mengenai keperluan barangan keperluan harian, malah juga berkaitan dengan ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Kita berharap ibu bapa yang anaknya terpilih bagi mengikuti tuisyen percuma ini dapat memastikan anak-anak mereka tidak ‘ponteng’ mengikuti pembelajaran yang disediakan” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya akan memberikan sebanyak lima buah lampu  solar untuk dipasang di kawasan  Rumah Pangsa Taman Megah.

Beliau berharap jawatankuasa penduduk memastikan setiap penghuni menjelaskan bayaran bulanan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang permasalahan seperti masalah lampu di kawasan mereka.

“Saya difahamkan ada bayaran tertunggak kepada pihak berkenaan yang menyebabkan lampu-lampu di sekeliling kawasan rumah pangsa ini tidak berfungsi semenjak dua  lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN