KUANTAN: Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen negeri ini di dua lokasi berasingan sekitar Kuala Lipis, dekat sini awal pagi hari ini.
Pengarah Imigresen Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, kesemua PATI yang ditahan merupakan warganegara Indonesia.
Katanya, mereka ditahan dalam serbuan sempena Op Taring Nyah II dilakukan Jabatan Imigresen dengan kerjasama Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 43 orang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai bekerja di tapak pembinaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah dan juga telah tinggal lebih masa,” katanya di sini hari ini.
Bercerita lanjut, Muhammad Hatta berkata, ketika serbuan, terdapat beberapa orang pendatang asing cuba melarikan diri, namun usaha mereka gagal setelah dikejar dan ditahan oleh anggota operasi.
“Kesemua warga asing itu kemudiannya ditahan di Depot Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155),” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya akan meneruskan kerjasama bersama agensi penguatkuasa lain dalam usaha menangani isu kebanjiran PATI di negeri ini. – UTUSAN