26 PATI dipenjara, cuba keluar Malaysia ikut laluan tidak sah - Utusan Malaysia

26 PATI dipenjara, cuba keluar Malaysia ikut laluan tidak sah

SERAMAI 26 orang pendatang asing tanpa izin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas tuduhan cuba keluar dari negara ini tanpa laluan yang sah pada 4 November lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 26 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Port Dickson di sini, hari ini atas tuduhan cuba keluar dari negara ini tanpa laluan yang sah.

Kesemua tertuduh iaitu tiga orang perempuan dan 23 orang lelaki berusia di antara 21 hingga 63 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd. Ghani. 

Mengikut pertuduhan bersama, kesemuanya sebagai warganegara asing telah didapati cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang bukan merupakan satu tempat keluar yang diwartakan seperti mana kehendak Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu dilakukan mereka pada 4 November lalu, kira-kira pukul 12.40 pagi bertempat di atas sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran di kedudukan garis lintang 02 darjah 22.80 minit utara dan garis bujur 102 darjah 42.97 minit timur dalam perairan Malaysia pada jarak 9.6 batu nautika dengan daratan terhampir adalah Port Dickson.

Oleh itu, kesemuanya telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 56(1A)(a) dibaca bersama Seksyen 5(2) akta yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57 juga akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin, yang memohon hukuman setimpal kepada kesemua tertuduh manakala tertuduh pula diwakili Eric Yeow Kok Heng secara pro bono.

Kesemua tertuduh lelaki akan menjalani hukuman di Penjara Jelebu manakala tertuduh perempuan pula di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Berdasarkan fakta kes, pada 3 November lalu, kira-kira pukul 9.50 malam, pasukan dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melaksanakan Operasi Murni/Operasi Tins Fasa 2.0 di perairan Selat Melaka telah menerima satu maklumat satu kontak curiga

Kontak curiga itu berjaya dikesan pada pukul 10.30 malam di posisi garis lintang 02 darjah 29.06 minit utara dan garis bujur 101 darjah 33.18 minit timur

Pada 4 November, kira-kira pukul 12.20 pagi, pasukan itu telah menahan sebuah bot gentian kaca tiada nombor pendaftaran di garis lintang 02 darjah 22.80 minit utara dan garis bujur 101 darjah 42.97 minit timur iaitu 9.6 batu nautika daratan terhampir Port Dickson.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 25 individu warganegara Indonesia dan seorang warganegara Rohingya cuba keluar Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN