24 individu Muslim berhibur, minum arak ditahan - Utusan Malaysia

24 individu Muslim berhibur, minum arak ditahan

POLIS menahan 24 individu Muslim kerana disyaki minum arak dalam satu operasi di sebuah premis hiburan, di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan seramai 24 individu beragama Islam kerana disyaki minum arak dalam satu operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah premis hiburan di bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan di bawah  Seksyen 19 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 itu terdiri daripada 22  warga tempatan dan dua warga asing.

“Kesemua yang ditahan itu diserahkan kepada JAINJ untuk tindakan selanjutnya. Selain itu, turut dibuat pemeriksaan terhadap seramai 139 individu yang sedang berhibur di premis berkenaan. Saringan air kencing mendapati lapan lelaki dan dua wanita positif dadah.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam satu operasi berasingan, Kamarul Zaman turut memberitahu, pihaknya menahan empat lelaki dan tiga wanita kerana didapati positif dadah di sebuah premis hiburan.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 68 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan dibuat terhadap seramai 91 individu yang sedang berhibur di premis tersebut.

“Turut ditahan seorang individu yang bekerja sebagai juruwang di premis itu,” jelasnya.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua yang ditahan telah dikenakan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya