10,000 dijangka kunjungi Karnival Deepavali Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

10,000 dijangka kunjungi Karnival Deepavali Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) ketika merasmikan penganjuran Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023 di Taman AST, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 10,000 pengunjung dijangka mengunjungi Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023 yang telah bermula sejak 2 November lalu dan berakhir pada 12 November ini.

Pengerusi jawatankuasa karnival berkenaan, K. Krishnaveni berkata, jangkaan jumlah tersebut berdasarkan sasaran 1,000 orang mengunjunginya pada setiap hari dengan tahun ini karnival berkenaan dianjurkan di lokasi baharu iaitu di Taman AST di sini.

“Tahun ini sebanyak 150 gerai mengambil bahagian, jumlah ini lebih besar kerana lokasi penganjuran juga lebih luas berbanding lokasi terdahulu di pekan Seremban. Tempat meletakkan kenderaan juga lebih banyak.

“Setakat ini, sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai yang bukan hanya datang dari negeri ini malah dari negeri-negeri berhampiran. Peniaga-peniaga juga gembira kerana lokasi ini lebih selesa dan pengunjung juga lebih ramai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Deepavali Negeri Sembilan di sini semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.

Krishnaveni dalam pada itu berharap orang ramai khususnya masyarakat India yang akan meraikan Deepavali pada 12 November ini agar tidak melepaskan peluang mengunjungi karnival tersebut.

“Semuanya ada di sini, hanya satu tempat sahaya mereka boleh dapatkan apa yang diperlukan untuk meraikan Deepavali seperti pakaian, kuih-muih dan juga barangan perhiasan,” katanya lagi.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang membeli pakaian untuk sambutan Deepavali yang dijual di Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023 di Taman AST, Seremban.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Arul Kumar dalam pada itu berkata, jumlah gerai yang mengambil bahagian tersebut merupakan jumlah paling besar dalam mana-mana penganjuran karnival Deepavali di negeri ini setakat ini.

“Bukan di Negeri Sembilan sahaja malahan saya difahamkan gerai untuk karnival di Klang, Selangor juga hanya 100 gerai sahaja.

“Bayaran sewa yang dikenakan kepada peniaga-peniaga juga rendah iaitu hanya RM800 untuk 10 hari karnival. Objektifnya hanya satu iaitu menyediakan tempat untuk peniaga-peniaga mendapatkan sedikit pendapatan tambahan sebelum sambutan Deepavali ini,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin ketika berucap pada majlis berkenaan memberitahu, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha mengadakan aktiviti seperti karnival ini sebagai langkah memupuk keharmonian rakyat berbilang bangsa di negara ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya