1,000 serbu Karnival Kerjaya Myfuturejobs - Utusan Malaysia

1,000 serbu Karnival Kerjaya Myfuturejobs

LEE TING HAN (dua dari kanan) melihat proses pendaftaran pekerja di kaunter Perkeso selepas merasmikan Karnival Kerjaya Myfuturejobs di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Paloh, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG – Kira-kira 1,000 orang hadir mencuba nasib bagi mengisi sebanyak 500 peluang pekerjaan yang ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Myfuturejobs anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di sini hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han yakin peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam karnival tersebut berjaya memacu sosioekonomi masyarakat tempatan, khususnya di Paloh.

Katanya, ketika ini kerajaan negeri sedang giat merancakkan sektor pelaburan dengan 143 kawasan perindustrian yang mampu menyediakan kira-kira 16,000 peluang pekerjaan.

“Pencari kerja perlu bijak memanfaatkan peluang seperti ini yang menawarkan pekerjaan kepada mereka kerana pelbagai sektor boleh dipilih bersesuaian dengan kelayakan serta kemahiran masing-masing. 

“Kehadiran ramai pencari kerja dalam karnival seperti ini membuktikan kepada kita bahawa sektor pekerjaan sememangnya diperlukan untuk memenuhi permintaan rakyat bagi membolehkan mereka mempunyai pendapatan tetap,” katanya selepas merasmikan karnival tersebut.

Sementara itu, Mohammad Hafizul Zaki Onn, 26, yang kehilangan kerja selepas lutut kanannya cedera selepas terjatuh ketika bekerja di sebuah kilang pada 2020 tidak melepaskan peluang untuk turut mencuba mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kemampuannya. 

Selepas diberhentikan akibat kecederaan itu, dia masih menganggur hingga kini dan berharap dengan kelulusan diploma dalam jurusan elektrikal yang dimilikinya digunakan untuk memohon kerja sebagai juruteknik kerana tidak perlu mengangkat barang-barang berat. 

“Diharapkan percubaan kali ini membuahkan hasil kerana sudah hampir tiga tahun tidak bekerja dan hanya bergantung harap kepada keluarga serta pampasan daripada Perkeso untuk meneruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya