JERANTUT: Sebanyak 10 ekor kucing ditemukan mati dipercayai dibunuh dengan cara direndam dengan air panas oleh pelaku yang tidak diketahui dalam kejadian di Pasar Borong Jerantut, Jalan Jerantut-Temerloh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Kamis berkata, kejadian itu disedari oleh orang awam pada pukul 5 petang semalam.
“Ekoran kejadian itu, seorang pengadu berusia 27 tahun membuat laporan polis pada pukul 6 petang hari ini.
“Setelah menemukan beberapa ekor kucing yang mati dan pengadu itu mengesyaki haiwan berkenaan direndam dengan air panas,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.
Menurut Azman, pengadu tidak berpuas hati 10 ekor kucing itu diperlakukan sedemikian kerana dia turut memberi makanan kepada haiwan terbabit sebelum kejadian tersebut.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku dalam kawasan pasar borong itu dan tidak mempunyai sistem litar kamera tertutup (CCTV).
“Orang awam yang mengetahui kejadian itu di mohon tampil membantu siasatan kepada pihak polis Jerantut atau balai polis berdekatan. Kejadian tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN