JOHOR BAHRU: Young Tigers tekad mahu menebus kekecewaan apabila berdepan Pakistan pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam ini.
Pengendalinya, Muhamad Amin Rahim berkata, pemain tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama ketika tewas menentang New Zealand dan India sebelum ini.
Katanya, penting bagi skuad remaja kebangsaan mencapai keputusan positif supaya dapat memberi motivasi menamatkan kempen SOJC musim ini di kedudukan yang lebih baik.
“Sasaran kita untuk mencuri mata menentang India tidak kesampaian, misi itu akan diteruskan ketika berdepan Pakistan. Kita akan turun dengan minda yang berbeza dan memberi aksi meyakinkan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.
“Kita akan teruskan proses ini sebagai persediaan untuk ke Piala Dunia Remaja pada Disember ini. Jika boleh menang (menentang Pakistan), itu lebih baik, kita akan cuba tamatkan SOJC di kedudukan lebih tinggi,” katanya.
Muhamad Amin berkata, tempoh rehat dua hari amat penting bagi beberapa pemain termasuk Kapten, Faris Harizan dan Wan Najmie Ahmad Dzaib mengembalikan tenaga sepenuhnya.
Katanya, khidmat dua pemain itu penting bagi mengemudi benteng pertahanan Young Tigers supaya tidak mudah dibolosi.
“Jika kita lihat kecederaan yang dialami pemain kita tidaklah terlalu serius, kita akan aturkan minit permainan mereka supaya tetap dapat beraksi
“Kita berharap semua pemain akan mendapat rehat secukupnya dan akan kembali segar apabila menentang Pakistan malam ini,” katanya.
Dia berharap pemain menjadi lebih ‘tajam’ di hadapan gol lawan dan menterjemahkan setiap peluang yang terhidang dengan sebaik mungkin. – UTUSAN