ISKANDAR PUTERI: Pasukan Young Tigers mahu memulakan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 dengan kemenangan ketika berdepan pasukan New Zealand pada perlawanan pembukaan, esok.
Pengurus pasukan, I. Vikneswaran berkata, persiapan menjelang kejohanan itu berjalan lancar malah telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Great Britain, semalam.
Walaupun ada pemain yang mengalami kecederaan, ia tidak merencat motivasi pasukan untuk mencari kemenangan pertama menentang pasukan yang mendapat jolokan Black Sticks itu.
“Kita akan melihat sejauh mana tahap kecederaan yang dialami Muhammad Danish Danial dan Muhammad Alief Adha sebelum membuat keputusan untuk merehatkan mereka atau tidak.
“Ketiadaan mereka akan memberi kesan kepada pasukan namun bukan alasan buat kami tidak mampu beraksi di tahap terbaik, penting buat Young Tigers mengorak langkah kanan pada kejohanan tahun ini.
“Kita turun untuk menang dan semua pemain sudah bersemangat tinggi untuk turun beraksi. Kita tidak mahu memberi tekanan kepada pemain, namun pasukan akan memberi yang terbaik untuk mencari kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan kendalian Muhamad Amin Rahim yang dibawa ini adalah ‘struktur’ pasukan yang akan bersaing untuk Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur pada Disember ini.
Walaupun ada pemain yang tidak didaftar dan sedang dalam proses pemulihan, kebanyakan pemain muda yang diturunkan akan beraksi di kejohanan utama itu nanti.
“Untuk memberitahu berapa peratusan pemain yang dibawa ini akan beraksi di Piala Dunia Remaja nanti, ia tidak adil buat pemain, tetapi inilah strukturnya, sebab itu mereka ini terpilih untuk beraksi,” katanya.
Dalam pada itu, ketua jurulatih India, C. R. Kumar berkata, juara bertahan itu akan memberikan aksi terbaik bagi mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu biarpun berdepan tentangan hebat.
Walaupun turun tanpa beberapa pemain utama termasuk pemain terbaik dan penjaring terbanyak musim lalu, Sharda Nand Tiwari, Kumar tetap optimis pasukan India mampu menyerlah.
“Hampir semua pasukan yang bertanding dalam SOJC kali ini akan bertanding pada Piala Dunia Remaja pada Disember ini. Jadi, kami akan memandang serius dalam saingan kejohanan ini dan akan memberi aksi terbaik.
“Walaupun pemain terbaik kejohanan sebelum ini tak dapat diturunkan dan beberapa pemain muda akan beraksi buat pertama kali, kami masih berharap mereka dapat membukti kemampuan seterusnya mempertahankan kejuaraan SOJC,” Katanya.
Mereka mempunyai satu lagi sesi pemilihan selepas SOJC sebelum memuktamadkan pasukan yang akan bertanding pada Piala Dunia Remaja nanti. – UTUSAN