PETALING JAYA: Program Wellness Month merupakan salah satu usaha kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan pendekatan whole of nation atau seluruh negara.
Justeru, bagi menyokong hasrat kerajaan untuk mengajak rakyat amalan sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup, Bahagian Pendidikan Swasta Kementerian Pendidikan menganjurkan Program Kesihatan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) Wellness Month@IPS Lembah Klang sepanjang September lalu untuk memberi pendedahan khususnya kepada seluruh warga institusi pendidikan swasta.

Pengarah, Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia, Aniza Kamarulzaman berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Agenda Nasional Malaysia Sihat untuk melahirkan rakyat Malaysia menerusi Wellness Month@IPS bertujuan untuk memupuk amalan sihat sejahtera di samping membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan murid dan kakitangan IPS termasuk komuniti setempat keseluruhannya.
INGATKAN
“Kesedaran ini amat penting supaya apabila murid balik ke rumah, mereka boleh mengingatkan ibu bapa. Ini perlu kita dititikberatkan, bermula dari bangku sekolah,” katanya.
Program Wellness Month@IPS tersebut sebelum ini berjaya dilaksanakan di lima IPS yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan sekitar kawasan Lembah Klang iaitu Sekolah Menengah (SM) Sri Bestari, Selangor (12 September), SM Setia Budi, Selangor (14 September), SM Chong Hwa Persendirian, Kuala Lumpur (18 September), Sekolah Menengah Islam IQKL, Kuala Lumpur (19 September) dan Sekolah Antarabangsa Nexus, Putrajaya (26 September).
Mengulas lanjut, Aniza berkata, usaha tersebut dijayakan dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak awam dan swasta di samping guru serta masyarakat setempat termasuk kariah-kariah masjid.
Katanya, usaha itu yang mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk swasta sekali gus menunjukkan semua pihak menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan pendekatan whole of nation.
Beliau berkata, antara aktiviti Wellness Month@IPS adalah seperti riadah dan senam robik, saringan asas kesihatan yang disediakan untuk murid, kakitangan sekolah dan komuniti, pendidikan kesihatan mental, taklimat penjagaan kesihatan diri, pameran pemakanan sihat dan selamat serta ceramah berkaitan pencegahan penyalahgunaan bahan terlarang.
“Selain itu, kita turut melaksanakan saringan scoliosis termasuk penjagaan tulang belakang dalam kalangan murid,” katanya.
RAKAN
Kata Aniza lagi, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga merupakan rakan agensi awam yang membantu pihaknya untuk menyampaikan mesej pembudayaan hidup sihat melalui masyarakat bebas tembakau, alkohol dan bahan larangan.
“Kita mempunyai rakan kerjasama strategik iaitu KPJ Healthcare Berhad, yang berganding bahu menjayakan pelaksanaan program ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.
“Kerjasama ini secara tidak langsung mengukuhkan solidariti promosi kesihatan antara agensi Kerajaan, agensi swasta dan warga komuniti,” katanya.
Pada masa sama, Aniza berkata, usaha itu mendapat sambutan memberangsangkan oleh pihak sekolah khususnya murid dan guru sehingga menjadi aktiviti yang ditunggu-tunggu semua pihak.
Menurutnya, Wellness Month@IPS juga memfokuskan aspek pemakanan sihat dalam kalangan murid-murid menerusi ceramah dan demonstrasi sebagai pendedahan awal kepada mereka.
Katanya, kebanyakan murid sangat teruja untuk mengetahui Indeks Jisim Badan (BMI), kesihatan mata dan telinga apabila melalui pemerhatian, didapati kaunter-kaunter saringan di lokasi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid.
“Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat adalah saringan asas kesihatan, taklimat penjagaan kesihatan diri dan pencegahan penyalahgunaan bahan terlarang.
“AADK juga ada menyediakan perkhidmatan bas bergerak bagi pameran bahan-bahan terlarang di salah sebuah lokasi program.
“Ini juga ke arah pembudayaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kerana apabila pegawai-pegawai perubatan datang ke sekolah, mereka dapat berinteraksi terus dengan murid-murid dan mereka akan melihat ini adalah ruang menceburi bidang perubatan pada masa akan datang,” katanya.

Ketika ditanya sama ada program Wellness Month@IPS itu berjaya mencapai matlamat dalam memberikan pembelajaran bermakna kepada murid-murid, Aniza berkata, mereka sememangnya seronok selepas terlibat dalam program ini kerana ia memberi satu pengalaman dan pembelajaran yang bermakna dalam situasi sebenar.
BUDAYA
“Melalui pelibatan dalam aktiviti sebegini, kita secara tidak langsung memberikan ruang untuk murid berfikir dan menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran mengenai pembudayaan gaya hidup yang sihat.
“Sebagai contoh untuk aktiviti ceramah kesihatan dalam dewan, dimulakan dengan aktiviti senam robik dan ia menyeronokkan bagi murid-murid ini. Saya melihat ia merupakan satu pengukuhan apa berlaku dalam kelas.
“Ia apabila guru dalam kelas menekankan aspek penjagaan kesihatan dan pemakanan sihat, jadi program sebegini dapat menyebabkan murid-murid berinteraksi dalam setiap aktiviti mereka sertai,” katanya.
Menurut Aniza, pihaknya mempunyai rancangan untuk memperluaskan program itu pada tahun hadapan dengan melibatkan lebih banyak IPS berdaftar dengan Kementerian Pendidikan di zon yang lain setelah melihat kepada sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah dan warga komuniti.
Kata beliau, pihaknya telah mendapat maklum balas positif daripada rakan kerjasama strategik dan jika diizinkan masa dan ruang, usaha itu akan teruskan menerusi jaringan kerjasama sama bagi pelaksanaan Wellness Month untuk tahun-tahun yang akan datang.
“Kami berharap lebih banyak agensi swasta lain dapat bekerjasama dengan Bahagian Pendidikan Swasta dan menyumbang kepada dunia pendidikan,’’ katanya. – UTUSAN