Wanita Orang Asli redah jalan balak 50 km, sewa pacuan empat roda  ke Jualan Rahmah Kasih Sayang

Wanita Orang Asli redah jalan balak 50 km, sewa pacuan empat roda  ke Jualan Rahmah Kasih Sayang

MASYARAKAT Orang Asli membeli barangan basah yang dijual di Jualan Rahmah Kasih Sayang di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sekumpulan wanita Orang Asli bukan sahaja perlu meredah jalan balak sejauh 50 kilometer (km) malah sanggup menyewa kenderaan pacuan empat roda untuk  ke Jualan Rahmah Kasih Sayang bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

Wakilnya, Masyu Ami, 35, berkata, dia bertolak bersama lima rakannya dari Pos Tohoi seawal pukul 9.30 pagi dan sampai di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis setengah jam kemudian untuk membeli barangan seperti beras, telur, minyak dan gula.

Menurutnya, mereka semua berpakat menyewa kenderaan dengan kadar tambang RM50 untuk ke Kuala Betis.

“Kami tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding kedai runcit di kawasan setempat.

“Hari ini saya, bawa wang RM100 dan dapat berjimat dengan membeli dua kampit beras, telur, minyak  masak dan telur pada harga RM75.70. Sekampit beras 10 kilogram cukup untuk seminggu bagi keperluan ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui di RPS Kuala Betis di sini hari ini.

Penghulu Kampung Angkek dan Podek, Damak Angah pula memberitahu, dia sangat teruja apabila Jualan Rahmah diadakan di kawasan terbabit.

Katanya, seawal pukul 8 pagi dia menunggang motosikal untuk ke program berkenaan bagi  membeli keperluan asas untuk keluarganya.

“Harga yang dijual memang berpatutan dan sangat murah. Dengan penganjuran program seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga yang kini terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hasyim, berkata, inisiatif kerajaan mengadakan program Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat membantu penduduk luar bandar dalam menangani kos sara hidup.

Katanya, bagi Parlimen Gua Musang sebanyak 18 kali siri program Jualan Rahmah telah diadakan dan kerajaan sudah memberi subsidi sebanyak RM240, 000 membabitkan jualan sehingga RM1.8 juta. 

“Ini adalah satu jumlah yang besar disubsidikan oleh pihak kerajaan kepada penduduk luar bandar. Saya kira ini program yang amat baik kerana ia adalah satu inisiatif kedai yang berkonsepkan ‘kedai cari rakyat.

“Bagi program Jualan Rahmah kali ini berlangsung selama dua hari dan ini adalah kali ketiga dianjurkan di kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya