RANTAU PANJANG: Seekor ular sawa seberat 100 kilogram (kg) yang berada dalam keadaan kekenyangan selepas dipercayai membaham itik milik seorang penternak di Kampung Batu Karang, di sini akhirnya masuk perangkap semalam.
Reptilia itu telah termakan umpan yang dipasang penternak berusia 65 tahun selepas beberapa kali itik serati miliknya menjadi mangsa kepada ular terbabit.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd. Arif Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.10 pagi.
Menurutnya, sejurus tiba APM mendapati ular telah masuk perangkap yang di pasang dalam kawasan kebun getah.
“Ini merupakan ular sawa paling besar dan berat yang pernah ditangkap sepanjang tahun ini.
“Reptilia ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.-UTUSAN