UiTM-Universiti Kyushu jalin kerjasama dalam penyelidikan cuaca angkasa - Utusan Malaysia

UiTM-Universiti Kyushu jalin kerjasama dalam penyelidikan cuaca angkasa

SAUNAH ZAINON (dua dari kiri) dan Akimasa Yoshikawa (dua dari kanan) menunjukkan MoU yang dimeterai antara kedua-dua pihak yang disaksikan Timbalan Rektor Akademik, UiTM Cawangan Johor, Prof. Madya Dr. Akmal Aini (kiri) dan Koordinator Magdas (Malaysia), Prof. Ir. Dr. Mohamad Huzaimy Jusoh (kanan) di Hotel UiTM, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjalin kerjasama dengan Universiti Kyushu, Jepun bagi memperkukuhkan bidang akademik dan penyelidikan dalam bidang cuaca angkasa (space weather).

Menurut Rektor UiTM Cawangan Johor, Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, kerjasama tersebut dimeterai pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Hotel UiTM, Shah Alam, minggu lalu.

“MoU tersebut merangkumi kerjasama selama tiga tahun dengan fokus kerjasama melibatkan pertukaran pensyarah dan penuntut, penganjuran kursus, simposium, persidangan serta perbincangan yang mendalam tentang penyelidikan. 

“Selain itu, kerjasama itu juga melibatkan perkongsian strategi pembelajaran dan pengajaran, promosi bersama dalam laman web universiti serta kolaborasi dalam bidang-bidang lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh beliau mewakili pihak UiTM, manakala Universiti Kyushu oleh Pengarah International Research Center for Space & Planetary, Environmental Science (i-SPES), Prof. Akimasa Yoshikawa.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pengajian Kejuruteraan Elektrik, UiTM Kampus Pasir Gudang, Zatul Iffah Abd. Latifff berkata,  kerjasama kedua-dua pihak dicetuskan oleh kumpulan penyelidik ‘Space Electromagnetism Research Group’ (SERG) dari Pengajian Kejuruteraan Elektrik UiTM Cawangan Johor.

Beliau yang merupakan salah seorang penyelidik kumpulan itu telah menjalankan projek kolaboratif dengan Universiti Kyushu melibatkan pemasangan magnetometer di UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang pada 17 Februari 2017.

“Alat ini berfungsi untuk mengukur medan geomagnet bumi. Menjadi lebih istimewa, magnetometer yang dipasang ini adalah sebahagian dari rangkaian ‘Magnetic Acquisition System’ (Magdas), yang menjadi titik tumpuan para pengkaji dunia dalam bidang cuaca angkasa.

“Dengan pemeteraian MoU ini, diharapkan kedua-dua universiti dapat memajukan lagi bidang penyelidikan, pembelajaran, dan pengajaran serta membina hubungan jangka panjang yang lebih kukuh dan produktif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya