Tukang mozek dipenjara seumur hidup, isteri bebas - Utusan Malaysia

Tukang mozek dipenjara seumur hidup, isteri bebas

TEH GEOK CHIN dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis empat tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tukang pasang mozek dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.024 kilogram, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas tertuduh, Teh Geok Chin, 47, menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kes hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Geok Chin dan isterinya, Nguyen Thi Thanh Tuyen, 25, didakwa bersama-sama mengedar dadah itu di sebuah pangsapuri di Jalan Suria Muafakat 1, Larkin,  pada pukul 12.10 tengah malam, 18 April 2019.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau jika tidak dihukum mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan. 

Berdasarkan fakta kes, Geok Chin ditahan ketika menaiki kereta Perodua Myvi di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Tebrau, di sini menuju ke sebuah rumah yang baharu disewanya.

Ketika serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Suria Muafakat 1, isteri tertuduh didapati berada di dalam rumah itu dan susulan itu kedua-dua suspek telah ditahan.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada seorang anak itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkapan, iaitu pada 18 April 2019.

Sementara itu, isterinya yang juga warga Vietnam dilepaskan dan dibebaskan setelah pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan yang sama terhadapnya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nasrudin Mohamed, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, K. Kalaichelvan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN