Tukang masak mengaku tak bersalah edar, miliki dadah - Utusan Malaysia

Tukang masak mengaku tak bersalah edar, miliki dadah

Wong Chee Chuen dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang atas dua pertuduhan memiliki serta mengedar dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, awal bulan ini. 

Tertuduh, Wong Chee Chuen 34, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno, namun tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis serbuk methylenedioxy methamphetamine (MDMA)  seberat 6.1 kilogram  di sebuah rumah di Taman Sam Hoe, di sini pada kira-kira  pukul 11 pagi, 8 Oktober lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dihukum mati, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Chee Chuen didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 7.70 gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izlyn Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Thomas Chin. 

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh, dan mahkamah menetapkan 13 Disember depan sebagai tarikh serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, seorang tukang masak ditahan di rumah sewanya di Taman Sam Hoe, dekat sini kerana disyaki memiliki dadah jenis ekstasi lebih enam kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM450,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN