Tukang kebun mengaku tak bersalah tetak abang - Utusan Malaysia

Tukang kebun mengaku tak bersalah tetak abang

AZMI M. TAIB didakwa mencederakan abangnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang tukang kebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tuduhan mencederakan abangnya menggunakan sebilah parang panjang di Pontian, minggu lalu.

Tertuduh, Azmi M. Taib membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim, VM Mabel Sheela.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki berusia 53 tahun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap abang kandungnya, Sazali, 55, dengan menggunakan sebilah parang panjang yang boleh menyebabkan kematian kira-kira pukul 4 petang di sebuah rumah di Parit Buloh Cina, Parit Sikom, Kayu Ara Pasong, Pontian, Jumaat lalu.

Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Faizzudin Abd. Ra’fik.

Nur Diyana memohon kepada mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh dijamin dan sekiranya mahkamah berhasrat membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000.

Muhammad Faizzudin yang mewakili Azmi memohon jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan empat orang anak dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Difahamkan, suspek telah datang ke rumah abangnya dengan bersenjata parang dan menyerang dengan menetak  kedua-dua belah tangan dan kepala mangsa.

Akibatnya tangan kiri mangsa terpaksa dipotong di paras bawah siku kerana mengalami kecederaan parah dan banyak urat tangan yang terputus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN