MUAR: Tindakan pantas pihak bomba memadamkan kebakaran bahan kimia di sebuah bangunan pembinaan berjaya menyelamatkan ribuan pekerja daripada terhidu asap di kawasan perindustrian Tanjung Agas, di sini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.45 tengah hari.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran berlaku melibatkan bahan kimia jenis Butanox M-50 di dalam bangunan yang sedang dalam pembinaan.
“Kebakaran berlaku di tingkat 4 (bangunan baru) di sebelah sebuah kilang St. Microelectronics Sdn. Bhd.
“Pihak bomba berjaya mengawal api dan memadam kebakaran kurang dari satu jam dan tiada mangsa yang cedera dalam insiden ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rafiah berkata, bau asap daripada kebakaran terbabit boleh menjadikan sesak nafas.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada pukul 1.53 petang. -UTUSAN